22 MEI: Aman Palestin Berhad (Aman Palestin) memberi amaran akan mengambil tindakan tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang memfitnah ketelusan badan itu dalam menguruskan dana kemanusiaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin, Awang Suffian Awang Piut, berkata perbuatan tersebut memberi kesan yang amat buruk dalam usaha pihaknya mengumpul dana membantu perjuangan rakyat Palestin kerana penyumbang menjadi was-was.
“Bagi menjelaskan dakwaan ketiadaan laporan audit bagi tahun kewangan tertentu yang tular menerusi media sosial, Aman Palestin sejak 2007 sentiasa menghantar laporan audit kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
“Bagaimanapun laporan bagi tahun kewangan 2016 sehingga 2019 masih tertangguh atas sebab-sebab tertentu yang sudah mendapat kebenaran SSM,” katanya yang memberitahu laporan tersebut telah sudah siap untuk dihantar kepada SSM.
Beliau memberitahu demikian menerusi sidang media secara maya yang turut disertai Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin Gaza, Ir Omar Seyam dan Pengurus Projek Pertubuhan Sebil, Dr Hasan Shahin.
Semalam, tular di media sosial mengenai laporan audit Aman Palestin yang tidak dihantar kepada SSM sehingga menimbulkan perdebatan hangat dalam kalangan netizen.
Sementara itu Awang Suffian berkata, pertambahan cawangan Aman Palestin di seluruh negara turut menambah beban penyelarasan dan kerja-kerja menyiapkan laporan audit kerana ia hanya diuruskan dua kakitangan.
Katanya, proses menyiapkan laporan berkenaan juga semakin mencabar berikutan pertukaran sistem kewangan baharu.
“Penularan COVID-19 bermula akhir 2019 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020 telah menyukarkan proses audit di setiap cawangan,” katanya.
Sementara itu, sebarang maklumat mengenai penyaluran sumbangan bantuan kepada rakyat Palestin yang sedang ditindas Israel boleh dibuat menerusi Aman Palestin dengan melayari sesawang, www.amanpalestin.net.