22 MEI: Biarpun seorang wanita sudah memakai niqab atau pelindung muka namun individu terbabit wajib memakai pelitup muka ketika berada di tempat awam.
Perkara itu ditegaskan Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri bahawa pemakaian niqab dan alat perlindungan muka bukan alasan untuk seseorang itu tidak memakai pelitup muka.
Ismail Sabri berkata kegagalan individu terbabit berbuat demikian adalah satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (pindaan 2021)
“Pelitup muka wajib dipakai ketika berada di tempat awam, walaupun seseorang individu itu mengenakan niqab atau memakai alat perlindungan muka.
“Jika pakai alat perlindungan muka dan niqab tetapi tidak memakai pelitup muka, ia tetap salah di bawah Akta 342. Kalau untuk tambah, boleh pakai alat perlindungan muka dan niqab,” katanya dalam sidang media bersama Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah secara maya sebentar tadi.
Semalam, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner, Mohd Said Ibrahim, berkata polis membuka kertas siasatan terhadap usahawan dan selebriti tanah air, Noor Neelofa Mohd Noor yang mengenakan niqab tanpa memakai pelitup muka seperti mana diwajibkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).
Beliau berkata, kertas siasatan dibuka susulan berita di laman sesawang sebuah portal yang tular memaparkan Neelofa tidak memakai pelitup muka ketika hadir ke Mahkamah Majistret Seremban, kelmarin.
“Polis menerima laporan mengenai tindakan (Neelofa) tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) berkaitan pemakaian pelitup muka sepertimana diwajibkan oleh KKM kepada semua individu. termasuk kepada mereka yang mengenakan niqab penuh atau separuh,” katanya.