22 MEI: Kerajaan bakal mengambil alih dua buah hospital yang belum beroperasi menggunakan Ordinan Darurat sebagai langkah awal merawat lebih ramai pesakit jika kes pandemik COVID-19 di Malaysia terus meningkat.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata dua hospital sedang dalam perhatian Kementerian Kesihatan (KKM) untuk diambil alih ialah Hospital Cyberjaya dan Hospital Pakar Kanak-Kanak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Dr Noor Hisham, berkata Hospital Pakar Kanak-Kanak UKM mempunyai kapasiti 243 katil biasa belum digunakan dan 20 lagi katil di Unit Rawatan Rapi (ICU).
“Kita boleh menggunakannya untuk siap siaga menerima pesakit COVID-19,” katanya pada sidang media bersama Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, di sini, hari ini.
Difahamkan, kerajaan terpaksa mengambil langkah drastik berkenaan selepas kadar penggunaan katil di ICU untuk Covid-19 di hospital kerajaan di Lembah Klang kini mencecah 113 peratus.
Malah, menurut rekod Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 21 Mei 2021, secara keseluruhannya penggunaan katil ICU untuk pesakit wabak itu kini mencapai 91 peratus.
Berikutan itu, bagi menampung peningkatan ini, hospital-hospital terpaksa menukar fungsi (repurpose) lain-lain kawasan di dalam hospital seperti wad biasa untuk dijadikan ICU sementara.
Menurut KKM, ini akan mengurangkan peluang pesakit bukan COVID-19 untuk mendapatkan rawatan kritikal yang diperlukan.
Di Hospital Sungai Buloh misalnya, sebahagian daripada Jabatan Kecemasan telah ditukar menjadi tempat rawatan kritikal atau ICU.
“Sistem kesihatan negara menghadapi tekanan yang amat besar dan memerlukan bantuan anda untuk memutuskan rantaian jangkitan COVID-19,” kata KKM menerusi laman Facebook.
Sehubungan itu, KKM memberi peringatan kepada orang ramai untuk kekal berada di rumah.
“Sekiranya terdapat urusan penting di luar, pastikan patuh kepada SOP. Majikan diseru untuk memberi kebenaran kepada pekerja untuk bekerja dari rumah (BDR) dan menghadkan bilangan pekerja yang hadir ke pejabat pada satu-satu masa. Jangan tunggu lagi. Kita jaga kita,” katanya.