22 MEI: Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, mengesahkan operasi pejabat kerajaan akan dilaksanakan secara hibrid iaitu secara keberadaan kakitangan di pejabat dan bekerja dari rumah (BDR) berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dengan SOP lebih ketat yang diumumkan, hari ini.
Mohd Zuki berkata bermula 25 Mei ini hanya 20 peratus kakitangan kerajaan akan hadir ke pejabat manakala 80 peratus lagi secara BDR dengan penggiliran namun arahan itu tidak termasuk kakitangan perkhidmatan barisan hadapan.
Menurut beliau, kehadiran kakitangan ke pejabat hanya bagi proses kerja yang tidak boleh dilaksanakan secara BDR dan memerlukan mereka berada di pejabat.
“Mesyuarat dan perbincangan dilaksanakan secara dalam talian melalui medium yang selamat dan terjamin kerahsiaan.
“Untuk perkhidmatan kaunter, ia hanya dibuka kepada perkhidmatan yang tidak ditawarkan secara dalam talian dan melalui janji temu sahaja,” katanya.
Katanya lagi, ketua jabatan hendaklah melaksanakan arahan itu dengan merancang kehadiran penjawat awam yang diperlukan di pejabat dan BDR.
“Pelaksanaan BDR adalah berdasarkan kepada Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 5 Tahun 2020 – Dasar Bekerja Dari Rumah yang jelas memperincikan aspek-aspek yang perlu dipatuhi termasuk tidak boleh melaksanakan urusan peribadi dalam waktu bekerja.
“Sebarang pelanggaran salah laku dalam pematuhan kepada BDR, akan dikenakan tindakan tata tertib di bawah P.U.(A) 395 – Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993,” katanya.
Mohd Zuki berkata, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan mengeluarkan garis panduan lengkap dalam masa terdekat dengan perincian kepada perkara-perkara berkaitan.
“Sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan akan terus berjalan seperti biasa untuk memastikan perkhidmatan kepada rakyat dapat diberi dengan cepat dan tepat.
“Pematuhan kepada SOP yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) daripada masa ke semasa perlu dipatuhi bagi memastikan keluk jangkitan COVID-19 dapat dilandaikan,” katanya lagi.