22 MEI: Tabung #Aid4Palestine di Terengganu Berjaya mengutip lebih RM3.7 juta untuk disalurkan kepada rakyat Palestin yang menderita akibat serangan rejim zionis Israel.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah, berkata kutipan selama tujuh hari bermula 15 Mei lalu itu adalah hasil sumbangan Badan Perhubungan PAS Terengganu, semua PAS kawasan dan barisan sayap parti termasuk Pemuda, Muslimat dan Ameerah.
“Daripada RM3.6 juta yang berjaya dikutip itu, PAS Kawasan Marang menjadi penyumbang tertinggi dengan kutipan sebanyak RM671,000 diikuti PAS Kemaman (RM576,000) dan PAS Kuala Terengganu (RM523,000).
“Sumbangan ini tidak termasuk kutipan daripada Menteri Besar, EXCO, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), anak syarikat kerajaan negeri (GLC) dan badan bukan kerajaan (NGO).
“Kutipan fasa pertama sudah diserahkan kepada Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Husain Awang dalam satu majlis secara dalam talian malam tadi.
“Bagi kutipan kerajaan negeri pula, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dijangka menyerahkan sumbangan kepada NGO Aid4Palestin malam ini secara dalam talian,” katanya.
Mohd Nor berkata, fasa pertama kutipan sepatutnya berakhir pada 30 Mei depan namun ia ditamatkan lebih awal iaitu semalam.
Katanya, kutipan fasa kedua akan diumumkan semula bergantung kepada perkembangan semasa di Palestin.
“Saya berterima kasih kepada semua yang menyumbang dan usaha murni ini menunjukkan rakyat Terengganu prihatin dengan penderitaan yang dialami rakyat Palestin,” katanya.
Sebelum ini, Ahmad Samsuri bersama 10 EXCO bersetuju menyumbang sebulan gaji masing-masing untuk disalurkan ke Tabung #Aid4Palestine.