22 MEI: Kerajaan memutuskan sebanyak 80 peratus daripada kakitangan awam dan 40 peratus pekerja swasta termasuk bahagian operasi akan bekerja dari rumah sebagai usaha membendung penularan wabak COVID-19 yang semakin membimbangkan.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan ini akan mengurangkan pergerakan kira-kira tujuh hingga lapan juta pekerja dari sektor awam dan kerajaan tidak akan ke pejabat atau premis tempat mereka bekerja di samping kapasiti pengangkutan awam akan dihadkan kepada 50 peratus penumpang sahaja sementara operasi perniagaan pula dihadkan sehingga pukul 8 malam.
Menurut beliau, semua aktiviti operasi perniagaan juga yang sebelum ini dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi hingga 10 malam juga diubah ketetapan masa dari jam 8 pagi sehingga 8 malam sahaja bagi mengurangkan pergerakan rakyat pada waktu malam.
“Semua sekatan tambahan ini akan berkuat kuasa di seluruh Semenanjung termasuk Wilayah Persekutuan Labuan bermula 25 Mei sehingga 7 Jun hadapan. Aktiviti perniagaan termasuk aktiviti jualan makanan di restoran, kedai, gerai, kenderaan saji (food truck) penjaja tepi jalan dan peruncitan serta pasar raya akan dibenarkan sehingga 8 malam sahaja.
“Namun, ianya terkecuali kepada farmasi dan pasar malam di mana farmasi dibenarkan bermula 8 pagi sehingga 10 malam dan bagi pasar malam yang sebelum ini dibenarkan sehingga 10 malam, juga hanya dibenarkan dibuka sehingga 8 malam. Hanya stesen minyak di lebuh raya dibenarkan beroperasi 24 jam.
“Pihak berkuasa juga akan meningkatkan penguatkuasaan dalam jumlah Sekatan Jalan Raya bagi memastikan rakyat kekal duduk di rumah. Kita cuba melakukan dengan penguatkuasaan Prosedur Operasi Standard (SOP) namun apa yang lebih penting adalah displin diri kita membuat kendalian kendiri kerana rakyat perlu mematuhi SOP,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media bersama Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah berkenaan perkembangan terkini Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di Putrajaya, hari ini.
Dalam pada itu, Ismail Sabri juga berkata Kerajaan juga meletakkan tanggungjawab kepada pihak swasta untuk memastikan penularan tidak merebak dengan mewajibkan semakan status MySejahtera ke atas semua pekerja/pengunjung sebelum memasuki premis dan perlu mewajibkan had jumlah pengunjung ke premis seperti pasar raya atau kedai.
“Pemeriksaan bersepadu di seluruh premis kerajaan dan swasta secara agresif akan dilakukan agensi penguat kuasa bagi meningkatkan keberkesanaan SOP dan semua agensi penguat kuasa yang mempunyai kuasa kompaun perlu melaksanakan pemantauan pematuhan SOP di tempat-tempat awam atau tempat yang berkaitan dengan tugas mereka.
“Penguat kuasa juga akan mempertingkatkan pengoperasian ops pada hari bercuti dan hujung minggu oleh agensi bukan keselamatan tidak tertumpu pada hari bekerja sahaja. SOP lebih lanjut bagi semua sektor ekonomi akan diumumkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa & Industri (MITI).
“Kerajaan juga akan menggunakan HIDE bagi mengenal pasti kawasan-kawasan yang berisiko tinggi seperti pusat beli-belah dan kawasan perkilangan. Setelah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membuat penilaian risiko dan libat urus, kawasan yang didapati masih berisiko tinggi akan ditutup serta-merta,” katanya.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata keputusan tidak menutup sektor ekonomi bagi memberi keutamaan kepada peniaga-peniaga kecil yang amat terkesan jika kerajaan melaksanakan PKP secara penuh yang akan menyebabkan mereka menderita sepanjang tempoh tersebut.
“Ramai juga yang kata kenapa tak tutup syarikat-syarikat besar ketika PKP, jika tidak dibenarkan beroperasi, bukan sahaja syarikat terpaksa ditutup malah akan memberi kesan kepada pekerjanya yang akan kehilangan pekerjaan. PKP 1.0 sahaja kira-kira 800,000 orang hilang pekerja dan bagaimana rakyat nak teruskan untuk hidup.
“Walaupun tidak dilaksana PKP penuh namun kita tetap buat “total lockdown” iaitu di Perintah Kawalan Pergerakan DIperketatkan (PKPD). Walau kita tak buat seluruh negara tapi buat berdasarkan lokaliti-lokaliti tertentu di mana orang ramai tak boleh keluar rumah dan aktiviti perniagaan dilarang kecuali kedai runcit.
“Kita harus memikirkan khususnya rakyat miskin dan golongan B40 untuk teruskan kehidupan jika PKP penuh dilaksanakan kerana sewaktu PKP 1.0, banyak kes masalah mental, kes bunuh diri banyak berlaku. Jadi, inilah kita nak jaga rakyat agar rakyat tak terlalu menderita di mana nanti kita nak selamatkan tetapi akhirnya rakyat menderita,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH