23 MEI: Kementerian Kesihatan (KKM) menafikan dakwaan seorang wanita bernama ‘mak teh’ bahawa 40 jururawat meninggal dunia selepas mendapatkan vaksin COVID-19, seperti rakaman audio yang tular di media sosial, sejak kelmarin.
Menerusi kenyataan KKM, rakaman audio berdurasi 2 minit 48 saat yang turut mendakwa vaksin COVID-19 adalah racun adalah tidak benar sama sekali.
Justeru, KKM menasihatkan orang ramai supaya tidak mencetuskan dakwaan seperti itu atau berkongsi dan mempercayai maklumat tidak benar berhubung isu vaksin, malah memantau keluarga mereka daripada melakukan perkara sama.
“Menjadi satu kesalahan daripada segi undang-undang apabila membuat kenyataan tidak benar dan menimbulkan kegelisahan awam.
“Jadi, sebelum perkara itu berlaku, lebih baik kita mencegahnya dengan nasihat-menasihati antara satu sama lain,” menurut kenyataan itu yang dimuatnaik KKM di Facebook, hari ini.
Rakaman audio itu memperdengarkan seorang wanita menggelarkan dirinya ‘mak teh’ mendakwa vaksin ditawarkan kerajaan berisiko menyebabkan kematian. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN