23 MEI: Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Kelantan mendedahkan hanya ada tiga buah katil yang kosong bagi menempatkan pesakit tahap empat dan lima COVID-19 di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di Kota Bahru, Kelantan.
Pengarah PKRC Kelantan, Dr Mohd Azman Yacob berkata, setiap hari kapasiti ICU HRPZ II yang mempunyai 42 katil berada pada tahap penggunaan 90 hingga 95 peratus bagi merawat pesakit COVID-19.
Justeru itu, menurut beliau, dua lagi Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) terpaksa dibuka selepas berlaku peningkatan mendadak jumlah pesakit COVID-19 di Kelantan.
“Pernah satu ketika semua 42 katil di wad itu penuh. Ini menunjukkan serangan pandemik COVID-19 di negeri ini semakin membimbangkan.
“Lokasi baharu itu ialah di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kelantan serta Queens Park di Tanjong Chat di sini. Sekiranya dua lokasi ini diaktifkan (PKRC), saya yakin ia mampu menempatkan pesakit dalam kapasiti yang tinggi,” katanya
Beliau berkata demikian kepada media selepas meninjau perkembangan dan situasi terkini gerak kerja petugas di PKRC Gelanggang Seni, Kota Bahru, Kelantan, hari ini.
Tambah beliau, sekiranya kes terus meningkat tidak mustahil Kelantan terpaksa membuka hospital medan bagi menempatkan ICU dengan bantuan tentera.
Dalam pada itu, Mohd Azman memberitahu rakyat di negeri ini disaran terus patuh dan mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) dalam usaha memutuskan rantaian pandemik itu.
“Golongan yang mempunyai simptom Covid-19 perlu segera hadir untuk menjalani ujian saringan.
“Langkah ini penting bagi memastikan kita dapat mengekang lebih awal penularan pandemik itu. Jangan tunggu arahan pihak berkuasa baru hendak bertindak,” katanya.