23 MEI: Polis Pulau Pinang akan merakam percakapan beberapa saksi dari syarikat didakwa menawarkan sumbangan dua juta dos vaksin COVID-19 kepada kerajaan Pulau Pinang.
Ketua Polis negeri, Datuk Sahabudin Abdul Manan, berkata polis juga akan merakam percakapan saksi dari Pejabat Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dan Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.
Jelasnya, sehingga kini polis menerima enam laporan daripada beberapa parti politik, termasuk Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang yang meminta siasatan dijalankan.
“Polis juga akan menghubungi syarikat berkaitan untuk mengesahkan status pendaftaran syarikat berkenaan serta peranan penulis surat terbabit.
“Selepas semua tindakan selesai diambil, polis akan menyerahkan kertas siasatan ke pejabat Pengarah Pendakwaan Pulau Pinang untuk nasihat dan pandangan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Sahabudin berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil menyiasat semua laporan diterima mengikut Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan.
Katanya, siasatan awal mendapati penulis surat menawarkan dua juta dos vaksin itu, bukanlah Pengarah Urusan syarikat Xintai Development Enterprise Ltd seperti dinyatakan.
Beliau berkata, penulis surat itu hanya wakil kepada syarikat Xintai Development Enterprise Ltd yang dilantik secara lisan dan mengesahkan tandatangan pada surat dihantar ke Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang itu miliknya.
“Modus operandi kes ini adalah suspek dipercayai cuba menipu kerajaan Pulau Pinang dengan menawarkan dua juta dos vaksin jenis Sinovac yang dipercayai tidak wujud,” katanya.
Selasa lalu, kerajaan negeri meminta Kementerian Kesihatan (KKM) memberi kelulusan menerima sumbangan dua juta dos vaksin COVID-19 dari syarikat swasta, selepas permohonan pertama mereka ditolak.
Bagaimanapun, Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin, mengesahkan tawaran derma dua juta dos vaksin COVID-19 daripada syarikat berpangkalan di Hong Kong itu adalah palsu.