23 MEI: Polis sedang menyiasat dakwaan seorang pemimpin politik wanita tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila menikmati hidangan beramai-ramai dan mengadakan ziarah ke rumah ahli keluarga pada hari kedua Aidilfitri lalu.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad, berkata siasatan itu dijalankan selepas pihaknya menerima laporan berhubung perkara terbabit.
“Siasatan masih dijalankan selepas kami menerima satu laporan baru-baru ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Afzanizar berkata, satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 17(4), Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan) 2021.
Berdasarkan SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) susulan PKP bermula 12 Mei hingga 7 Jun ini, aktiviti ziarah ke rumah, selain ziarah kubur sempena sambutan Aidilfitri tidak dibenarkan.
Sejak beberapa hari lalu, tular gambar di Facebook berhubung tindakan pemimpin terbabit yang didakwa meraikan Aidilfitri bersama adik-beradik dan ahli keluarganya.
Gambar dimuat naik pada 14 Mei itu, memaparkan beliau yang juga Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) bersama ahli keluarga, termasuk beberapa anak saudaranya berkumpul di meja makan.
Namun, gambar itu dipadamkan selepas menjadi tular di media sosial.