23 MEI: Perkhidmatan ‘park-and-dine’ dalam kenderaan tidak dibenarkan di Sarawak dan pihak polis memandang serius inisiatif terbaharu dijalankan pengusaha makanan menawarkan servis berkenaan.
Menurut Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail, perkhidmatan melanggar prosedur operasi standard (SOP) dan boleh dikenakan kompaun.
Katanya, perkhidmatan itu tidak mematuhi SOP kerana hanya servis membawa pulang makanan (take away) dibenarkan.
“Menyediakan hidangan untuk dimakan di dalam kenderaan bukan dikategorikan sebagai membawa pulang dan aktiviti ini boleh dikompaun kerana tidak mematuhi SOP.
“Ingin saya tegaskan bahawa aktiviti melayan pelanggan dengan membawa makanan untuk dimakan dalam kenderaan, sama ada milik sendiri atau disediakan restoran dan mengambil semula bekas makanan daripada pelanggan juga bukan dikategorikan sebagai bawa pulang,” katanya kepada media tempatan, hari ini.
Tular di media sosial, baru-baru ini mengenai inisiatif baharu ‘park-and-dine’ menggantikan makan di restoran disediakan premis makanan, susulan SOP ditetapkan kerajaan bagi mengekang penularan COVID-19 di Sarawak.
Aidi berkata, beberapa premis makanan di Kuching sudah dikenalpasti melakukan kaedah sama.
Peniaga, katanya, perlu memahami SOP ditetapkan kerajaan membabitkan tidak dibenarkan makan di restoran dengan jelas.