23 MEI: Taktik satu sindiket pengedaran dadah menyorok syabu dalam beg sekolah kanak-kanak bagi mengaburi mata pihak polis berjaya dibongkarkan dalam serbuan di sebuah rumah di Kepala Batas, Pulau Pinang, kelmarin.
Rampasan dibuat selepas polis menahan empat individu termasuk dua wanita dipercayai sindiket pengedaran dadah.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, hasil pemeriksaan pihak polis merampas dadah jenis syabu seberat 5.2 kilogram (kg) bernilai RM204,400 yang disorok dalam satu beg sekolah kanak-kanak
Menurut beliau, keempat-empat suspek berusia 42 hingga 59 tahun ditahan dalam serbuan di rumah itu pada 5.30 petang.
“Pemeriksaan lanjut dalam rumah itu menemui satu beg sekolah kanak-kanak mengandungi dadah jenis syabu seberat 5,244 gram (g) bernilai RM204,400 dipercayai menjadi taktik suspek bagi mengelak perbuatan mereka dihidu pihak berkuasa.
“Polis merampas kesemua dadah berkenaan dan menyita dua kereta Perodua Myvi dan Perodua Kenari serta wang tunai RM1,050 untuk tindakan lanjut,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Dalam pada itu, Noorzainy memberitahu
dadah yang dirampas itu boleh digunakan antara 4,000 hingga 5,000 penagih dadah yang ia dipercayai untuk pasaran sekitar Kepala Batas.
“Semakan mendapati hanya seorang daripada empat suspek memiliki rekod jenayah dan ujian saringan air kencing mendapati mereka negatif dadah.
“Kesemua suspek akan ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.