24 MEI: Tindakan seorang lelaki bergelar ‘Datuk Seri’ yang mendalangi sindiket judi dalam talian dan mesin slot terbongkar selepas dia ditahan bersama 18 individu lain di sebuah premis di Jalan Pudu dan beberapa lokasi di Ibu negara, sejak 17 hingga 20 Mei lalu.
Dalam serbuan di rumah suspek utama berusia 55 tahun di Bukit Segar, Cheras 20 Mei lalu, polis merampas wang tunai berjumlah RM579,001, tiga jam tangan bernilai RM238,000; tiga jongkong emas dan loket (RM58,250) serta tiga kenderaan mewah (RM1.2 juta) dengan nilai keseluruhan RM2.1 juta.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim, berkata selain lelaki berkenaan, 10 individu tempatan termasuk seorang wanita, lima lelaki warga Myanmar dan tiga lelaki Bangladesh diberkas berusia antara 17 hingga 71 tahun.
Katanya, polis juga menyita pelbagai barang termasuk 16 alat kawalan perjudian, empat set komputer, dua projektor, satu modem, dua kotak perisian perjudian, dua kotak pengisian kredit, dua cip kredit perjudian serta wang tunai berjumlah RM10,123.
“Tarikan sindiket judi itu dengan mengubah suai mesin slot bagi membolehkan paparan pada mesin berkenaan dilihat melalui skrin projektor.
“Ia bertujuan bagi menambah keseronokan pemain judi selain menarik lebih ramai pelanggan. Kita juga dapati sindiket itu turut dijalankan menerusi kaedah dalam talian.
“Sindiket itu yang aktif sejak Januari lalu mengaut keuntungan antara RM10,000 hingga RM30,000 sehari bergantung kepada sambutan pelanggan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yong Lei Choo dan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah.
Azmi berkata, semua suspek masih dalam tahanan reman mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) 2001, Seksyen 4 (1) (c) dan 6 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 serta Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.
Orang ramai mempunyai maklumat berkaitan jenayah boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999, IPD Dang Wangi (03-2600 2222) atau mana-mana balai polis berdekatan.