24 MEI: Dakwaan usahawan kosmetik kontroversi Muhammad Sajjad Kamaruzzaman atau dikenali Nur Sajat yang diburu pihak berkuasa, kini berada di Johor Bahru, Johor adalah tidak benar.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Datuk Md Yusof Ahmad, berkata pemeriksaan sudah dilakukan di lokasi usahawan kosmetik itu didakwa berada iaitu premis perniagaannya di Pusat Komersial Bandar Baru Uda (BBU) selain kondominium mewah di Danga Bay, semalam.
“Namun tiada langsung kelibat Muhammad Sajjad dikesan di dua lokasi berkenaan.
“Saya harap netizen jangan layan sangat isu sebegini. Polis banyak lagi kerja lain lebih-lebih lagi sekarang ini isu COVID-19 lebih penting.
“Kalau nampak depan mata barulah maklumkan polis. Jika tidak, netizen tak perlu mereka-reka cerita yang membuang masa dan polis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Media sebelum ini melapor Nur Sajat, 36, yang diburu pihak berkuasa, dilaporkan didakwa kini berada di Johor Bahru.
Dakwaan itu tular di beberapa kumpulan Facebook negeri ini, sejak kelmarin.
Ia selepas Nur Sajat memuat naik lokasi kononnya sedang berada di premis perniagaannya di Pusat Komersial Bandar Baru Uda (BBU), di akaun Instagram miliknya, semalam.
Seorang netizen kemudian mendakwa Nur Sajat sememangnya berada di Johor Bahru dan menetap bersama beberapa pekerjanya di sebuah kondominium mewah di bandar raya itu.
Ia hasil pemerhatian netizen berkenaan terhadap latar belakang video yang dimuat naik di akaun Tik Tok Nur Sajat, yang menyamai reka bentuk dan susun atur sebuah kondominium mewah terkenal di sini.
Pada 26 April lalu, beberapa media melaporkan Nur Sajat berkemungkinan berada di luar negara selepas diburu setelah waran tangkap dikeluarkan Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada 23 Februari lalu.