24 MEI: Kerajaan disaran melaksanakan kembali pemberian bantuan ransangan ekonomi berbentuk moratorium dan melanjutkan Program Subsidi Upah (PSU) secara bersasar, bagi membantu golongan terjejas pendapatan akibat COVID-19.
Felo Kanan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu Bersatu Berhad (MTEM), Ahmad Yazid Othman, berkata bantuan itu perlu dilaksanakan sekurang-kurangnya sasaran imuniti kelompok sebanyak 80 peratus dicapai.
Katanya, bantuan itu sangat diperlukan mereka yang terpaksa berkorban akibat pandemik terbabit, termasuk hilang pekerjaan, tiada punca pendapatan dan terjejas kewangan untuk meneruskan kelangsungan kehidupan bersama keluarga.
“Kita simpati dilema dialami kerajaan ketika COVID-19 dan memahami hujah pemimpim mengatakan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh dikhuatiri menyebabkan lebih ramai merana.
“Jadi mahu tidak mahu kita menerima apa kerajaan putuskan, tetapi kerajaan juga mesti menyalurkan bantuan tambahan berbentuk moratorium serta PSU bagi mengurangkan kesan ‘kesakitan’ mereka yang terpaksa bertahan dan terjejas pendapatan dalam fasa memerangi pandemik ini.
“Kita juga faham pada masa sukar pandemik kini, kerajaan payah menyalurkan bantuan dalam bentuk duit tunai secara terus kepada rakyat terjejas, malah mungkin turut berdepan kekangan sumber kewangan melaksanakan PSU, tetapi kita minta beri moratorium kerana penerima tetap akan membayar semula.
“Moratorium ini membolehkan mereka yang terkesan, menggunakan gaji atau wang sedia ada untuk bertahan apabila tidak perlu membayar hutang kepada bank bagi tempoh tertentu, selain membantu keperluan ibu bapa dan adik-beradik,” katanya ketika dihubungi Portal PN BBC, hari ini.
Ahmad Yazid berkata, tanpa moratorium, individu terjejas pastinya terpaksa mengikat perut dan akhirnya tidak mampu bertahan, manakala bagi peniaga kecil yang sukar mendapat pelanggan serta pulangan pendapatan, berisiko menutup peniagaan.
Jelasnya, realitinya pada masa kini, 60 peratus pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berpendapatan kurang RM3,000 dan tiada simpanan yang banyak, manakala data ekonomi menggambarkan majoriti rakyat tidak mampu bertahan dalam senorio seperti ini, justeru bantuan lebih strategik perlu diberikan kerajaan.
“Rakyat tidak marah kerajaan melaksanakan PKP 3.0 atau PKP penuh, tetapi mereka mempertikaikan apabila terdapat syarikat besar yang operasi dan pendapatannya berjalan baik, manakala mereka ini terpaksa ‘mengikat perut’ kerana arahan berkenaan, jadi mereka memerlukan bantuan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pakar Ekonomi, Bank Islam Malaysia Berhad, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata kemampuan kerajaan untuk memberi bantuan kepada rakyat ketika ini, bukan isu utama, sebaliknya apa yang penting adalah bagaimana dan apa bentuk pertolongan disalurkan kepada mereka.
“Usaha memelihara ekonomi perlu berterusan, terutama dalam membantu individu dan perniagaan terjejas akibat impak COVID-19.
“Bukan masalah ruang itu sendiri kerana ruang itu memang ada, cuma apa bentuk bantuan akan diumumkan dan keberkesanannya, selain berapa cepat sampai kepada golongan disasarkan.
“Perkara itu adalah intipati perlu ditekankan kerana daripada sudut keupayaan atau ‘threshold‘ memang ada dan dalam kadar selesa, tetapi keutamaan sekarang daripada segi ekonomi.
“Kita nak pastikan ekonomi, terutama mereka yang terjejas, termasuk golongan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dipelihara supaya kesannya dapat diminimumkan sebaik mungkin,” katanya.
Mengulas berhubung pelaksanaan moratorium kepada individu dan perniagaan, terutama PKS, Mohd Afzanizam berkata, bantuan itu masih perlu dilaksanakan.
Bagaimanapun, katanya, moratorium perlu diberikan secara bersasar terutama bagi mereka yang terkesan dan amat memerlukannya.
Dalam masyarakat, jelasnya, tidak semua pihak terkesan secara 100 peratus kerana impaknya bercampur-campur.
“Bagi mereka yang masih mempunyai pekerjaan, terutama di sektor awam, sektor syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sebagainya, gaji mereka masih macam biasa.
“Kalau kita nak bagi moratorium secara automatik atau moratorium pukal ini, saya kira itu satu pembaziran,” katanya.