24 MEI: Kementerian Pengangkutan (MOT) akan menubuhkan satu pasukan petugas khas serta merta bagi menyiasat insiden pelanggaran membabitkan perkhidmatan tren LRT Laluan Kelana Jaya, Selangor, malam tadi.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, Ketua Pengarah Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Azlan Shah Al Bakri akan menghantar laporan awal insiden ini kepada Kementerian Pengangkutan esok.
“Ketua Pengarah Pengangkutan Awam Darat akan hantar laporan awal kepada saya. Dalam tempoh dua minggu kita akan siasat sama ada insiden disebabkan kesilapan sistem atau komunikasi. Kita akan pastikan siasatan dan kenal pasti punca pelanggaran ini.
“Kerajaan sangat sedih dengan kejadian itu dan ini adalah kejadian pertama membabitkan pertembungan tren LRT dalam 23 tahun sejarah operasinya,” katanya pada sidang media sebentar tadi.
Ka Siong juga sempat bertemu dengan mangsa-mangsa yang tercedera, selain turut melihat keadaan gerabak yang rosak akibat perlanggaran tersebut.
Dalam pada itu, ketika ditanya apakah perkhidmatan LRT akan digantung bagi memudahkan siasatan, beliau memaklumkan, ia terserah kepada laporan awal yang akan dikemukakan Ketua Pengarah APAD esok.
Setakat ini, beliau berkata, Prasarana Malaysia Bhd. mungkin akan menyediakan bas perantara bagi mengangkut penumpang yang tidak boleh menggunakan perkhidmatan tren di laluan KLCC kerana kerja-kerja mengalihkan gerabak rosak masih belum siap.
“Saya meminta semua pihak supaya menunggu kenyataan rasmi daripada Prasarana berhubung operasi tren di laluan berkenaan,” katanya.
Terdahulu, sekurang-kurangnya 47 penumpang dilaporkan cedera parah dalam perlanggaran dua tren Transit Aliran Ringan (LRT), masing-masing dari arah Gombak dan Kelana Jaya di sini.
Kedua-dua tren dilaporkan bertembung kira-kira jam 8.45 malam di antara stesen Kampung Baru dan KLCC.
Smementa itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah, berkata tren dari Gombak membawa 213 penumpang manakala tren dari arah Kelana Jaya yang tidak membawa penumpang, dipercayai mengalami masalah teknikal sebelum pertembungan berlaku.
Beliau berkata, 166 penumpang dilaporkan mengalami luka ringan dan kesemua penumpang yang cedera telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur dan beberapa hospital lain.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 201 Akta Pengangkutan Darat 2010,” katanya