24 MEI: Kerajaan hari ini mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan di beberapa lokaliti di Pahang dan Sabah, berkuatkuasa mulai selepas jam 12 tengah malam esok.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pelaksanaan PKPD di lima sub-zon dalam di Labuan dibuat selepas Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan peningkatan kes COVID-19 secara mendadak di kawasan terbabit.
Beliau berkata berdasarkan kepada situasi semasa peningkatan mendadak kes COVID-19 di Labuan adalah susulan daripada peningkatan kes di semua negeri di Malaysia dan kesemua lima (5) sub-zon kini berstatus Jingga dan Merah.
Ismail Sabri berkata, KKM juga mengesahkan kadar kebolehjangkitan bagi Labuan pada 23 Mei 2021 adalah 2.55 iaitu melebihi 2.00 yang berkemungkinan akan berlaku jangkitan dengan skala yang lebih besar mungkin berlaku.
“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PKPD di lima sub-zon di Labuan seperti yang dinyatakan bermula dari 26 Mei sehingga 24 Jun 2021.
“Pelaksanaan PKPD ini untuk mengawal pergerakan penduduk di kesemua kawasan seterusnya mengekang penularan jangkitan COVID-19 ke komuniti lain,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri juga mengumumkan pelaksanaan PKPD di Mukim Kuala Lipis, Pejam dan Budu, Pahang berikutan peningkatan mendadak kes COVID-19 di kawasan terbabit.
Ismail Sabri berkata sehingga kini, Mukim Budu mencatatkan 51 kes positif, Mukim Kuala Lipis (24) dan Mukim Penjom (57) menjadikan keseluruhan kes dikesan daripada ketiga-tiga mukim ini adalah sebanyak 132 kes dalam tempoh 24 hari dari 1 Mei hingga 24 Mei 2021 daripada keseluruhan 938 yang disaring.
“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PKPD di Mukim Dalam Daerah Lipis, Pahang iaitu Mukim Kuala Lipis, Mukim Penjom dan Mukim Budu bermula dari 26 Mei 2021 hingga 8 Jun 2021.
“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM membuat pengesanan awal kes-kes COVID-19 supaya dapat diasingkan secepat mungkin dan seterusnya mengekang penularan jangkitan COVID-19 ke komuniti lain,” katanya.
Beliau berkata kerajaan juga bersetuju untuk melaksanakan PKPD di dua Lokaliti di Putatan, Sabah iaitu Taman Seri Ketiau dan Taman Desa Seri Ketiau selepas menerima laporan dari KKM.
“Sehingga kini, KKM mengesahkan terdapat peningkatan ketara kes dalam tempoh 1 minggu di lokaliti ini apabila sebanyak 21 kes positif direkodkan hasil daripada 282 ujian saringan yang dilaksanakan.
“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PKPD di Taman Seri Ketiau dan Taman Desa Seri Ketiau bermula dari 26 Mei 2021 hingga 8 Jun 2021,” katanya.
Ismail Sabri berkata kerajaan juga bersetuju melaksanakan PKPD di Kampung Sungai Imam, Tawau, Sabah, mulai Rabu ini hingga 8 Jun 2021 selepas 17 daripada 57 penduduk menjalani ujian saringan disahkan positif COVID-19.
“Kerajaan juga bersetuju melanjutkan PKPD Felda Kahang Timur, Kluang, Johor sehingga 8 Jun 2021 selepas 140 daripada 1,092 individu menjalani ujian saringan COVID-19 di kawasan terbabit disahkan positif.