24 MEI : Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan Kementerian Pengangkutan dan Prasarana Malaysia Berhad menjalankan siasatan segera berhubung insiden kemalangan tren Transit Aliran Ringan (LRT) yang berlaku hari ini.
Katanya, beliau memandang serius insiden yang telah menyebabkan puluhan penumpang parah dan ratusan lain cedera.
“Saya memandang serius kemalangan ini dan telah mengarahkan Kementerian Pengangkutan dan Prasarana Malaysia Berhad untuk melakukan siasatan penuh untuk mengenalpasti punca kemalangan ini.
“Satu tindakan yang tegas harus diambil dengan segera,” tegasnya melalui satu kenyataan yang dimuat naik melalui Facebook rasmi beliau malam ini.
Menurut Muhyiddin, keutamaan harus diberikan kepada mangsa-mangsa kemalangan, dan semua pihak memberi kerjasama sepenuhnya bagi memastikan mangsa mendapat rawatan yang menyeluruh.
“Ini memandangkan kita juga berada dalam gelombang pandemik COVID-19 yang sedang meningkat naik.
“Saya difahamkan bahawa petugas-petugas keselamatan dan kecemasan sedang berada di tempat kejadian,” ujarnya.
Beliau seterus berharap agar kerja-kerja penyelamatan dipermudah dan penumpang terlibat selamat, manakala mereka yang cedera diberikan rawatan segera.