24 MEI: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) berjaya mendaftarkan seramai 2,481 orang penerima vaksin sejak awal Mei 2021 menerusi inisiatif pengaktifan Pusat Komuniti Desa (PKD) sebagai Pusat Daftar Vaksin Luar
Bandar sejak 20 Mei lalu.
Berikut itu KPLB juga menyasarkan peningkatan sebanyak 20 hingga 30 peratus jumlah pendaftaran vaksin sedia ada serta mempercepatkan lagi proses imunisasi Covid-19 terutama masyarakat luar bandar.
Menterinya Dr Abd Latiff Ahmad, berkata kejayaan itu dicapai selepas KPLB bersetuju mengaktifkan 191 PKD di bawahnya sebagai Pusat Daftar Vaksin (PDV) Luar Bandar bermula 20 Mei 2021.
“KPLB berharap langkah dapat mempercepatkan dan mempertingkatkan usaha pendaftaran vaksin di luar bandar, sekali gus membantu negara mencapai kadar Imunisasi Kelompok dalam tempoh terdekat.
“Bagi memastikan masyarakat luar bandar tidak ketinggalan dalam mendaftar sebagai penerima vaksin, pengaktifan PKD sebagai pusat daftar vaksin luar bandar ini akan melibatkan sebanyak 191 buah PKD di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Abd Latiff berkata daripada 191 PKD berkenaan 139 PKD mempunyai perkhidmatan internet manakala 52 PKD dalam proses pemasangan.
Katanya, senarai PKD boleh diperolehi menerusi laman sesawang berikut https://www.rurallink.gov.my/pusat-komuniti-desa-pkd/.
“Bagi 52 buah PKD yang sedang dalam proses pemasangan perkhidmatan internet, pendaftaran luar talian akan dilaksanakan menggunakan aplikasi khas yang dibangunkan oleh Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi,” katanya.
Abd Latiff berkata bagi melancarkan urusan pendaftaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Pengurus-Pengurus PKD akan menjadi barisan hadapan (frontliner) KPLB dalam membantu melancarkan pendaftaran
secara dalam talian menggunakan portal www.vaksincovid.gov.my serta berdasarkan Prosedur Standard Operasi (SOP) yang digunakan oleh Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF).
Beliau berkata peranan Pengurus PKD akan dipertingkatkan dan diperluaskan bukan hanya dalam aspek pendaftaran vaksin sahaja, tetapi dalam memberikan penerangan dan mempromosikan kebaikan pengambilan vaksin kepada masyarakat di luar bandar.
Katanya, KPLB akan turut membantu agensi kerajaan yang lain dalam meningkatkan promosi dan publisiti serta menerangkan mengenai keperluan pengambilan vaksin kepada masyarakat luar bandar menerusi
agensi-agensi KPLB yang berada di lapangan seperti KEMAS, JAKOA, RISDA, FELCRA BERHAD, MARA dan sebagainya.
“Kerjasama merentasi agensi kini amat diperlukan apatah lagi ketika ini kes positif Covid-19 kini menunjukkan
trend peningkatan serta di tahap membimbangkan,” katanya.