25 MEI: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan dukacita dan terkejut dengan berita kemalangan membabitkan pelanggaran dua tren Transit Aliran Ringan (LRT), semalam.
Menerusi kenyataan Istana Negara, baginda menyifatkan insiden terbabit sebagai serius dan menzahirkan harapan agar semua pihak menjadikannya iktibar untuk memastikannya tidak berulang.
Al-Sultan Abdullah bertitah, perkara itu juga perlu dielakkan pada masa hadapan bagi memastikan keselamatan penumpang terjamin dan dipelihara dengan sebaiknya.
“Baginda menzahirkan rasa syukur ke hadrat Ilahi kerana kesemua penumpang dalam kemalangan terbabit sudah dapat dikeluarkan dari tempat kejadian dan dibawa ke hospital dengan segera bagi mendapatkan rawatan.
“Seri Paduka Baginda menzahirkan penghargaan kepada petugas keselamatan dan kecemasan atas kepantasan serta kesungguhan mereka dalam usaha menyelamat dan merawat mangsa kemalangan terbabit.
“Pada masa sama, baginda menzahirkan harapan agar pihak berkaitan memberikan keutamaan kepada mangsa kemalangan, khususnya dalam bentuk keperluan rawatan menyeluruh dan kebajikan mereka,” kata kenyataan itu yang dimuat naik di Facebook, hari ini. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN