25 MEI: Rakyat Malaysia perlu bersiap sedia untuk menghadapi gelombang terburuk pandemik COVID-19 berikutan jumlah kes posiitif harian mencatatkan jumlah tertinggi dalam sejarah iaitu melebih 7,000 kes sehari hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pihaknya hari ini melaporkan jumlah kes harian COVID-19 mencapai 7,289 kes iaitu angka jangkitan tertinggi sejak wabak berkenaan dikesan di Malaysia, lebih setahun lalu.
Berikutan itu, Dr Noor Hisham menerusi Twitternya hari ini menggesa orang ramai bersedia menghadapi gelombang COVID-19 terburuk.
“Peningkatan kes bermula sejak 1 April dan boleh mencetuskan lonjakan menegak. Kita perlu membuat persediaan untuk menghadapi keadaan terburuk. Tolong bantu kami untuk duduk di rumah. Jika kita bekerjasama, kita boleh memutuskan rantai jangkitan,” rayu beliau.
Terdahulu media melaporkan biarpun jumlah kes baharu baharu COVID-19 menunjukkan penurunan iaitu 6,509 kes setakat tengah hari semalam, namun bilangan kes kematian mencatatkan kenaikan kepada 61 kes iaitu rekod tertinggi sejak penularan virus itu di Malaysia dengan jumlah keseluruhan iaitu 2,248 kematian.
Dr Noor Hisham turut berkongsi maklumat infografik mengenai pecahan 7,289 kes baharu hari ini dengan Selangor mencatatkan jumlah tertinggi dengan 2,642 kes, diikuti Johor (664 kes), Kuala Lumpur (604); Sarawak (513), Kelantan (425), Negeri Sembilan (410), Pulau Pinang (380), Kedah (336), Terangganu (268), Sabah (266), Melaka (258), Perak (218), Pahang (211), Labuan (63), Putrajaya (23) dan Perlis (8).
Dalam pada itu Dr Noor Hisham berkata peningkatan jumlah kes harian penularan COVID-19 di Malaysia kini mengikut trend pertumbuhan (eksponensial) memang sudah dijangkakan dan mampu mencetuskan lonjakan kes secara mendadak jika tidak dibendung.