25 MEI: Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan, Dr Izani Husin, melahirkan rasa terkilan dan kecewa dengan sikap segelintir rakyat di negeri berkenaan yang menolak untuk menerima vaksin COVID-19 yang diberikan secara percuma menerusi Program Imunasasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dengan pelbagai alasan tidak munasabah.
Dr Izani berkenaan keadaan itu menyebabkan Kelantan dan Malaysia amnya berada dalam kelompok negara tercorot berbanding negara bukan Islam lain.
“Rakyat negara bukan Islam telah berjaya menyambut baik program vaksinasi tetapi rakyat negara kita tidak berbuat begitu. Kita tercorot dengan berbagai alasan.
“Bersama memberi sokongan dalam usaha kerajaan menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan ini. Vaksinasi ini amat penting untuk kita semua bagi membentuk imuniti berkelompok (herd immunity) dengan memastikan sekurang-kurangnya 80 peratus penduduk dewasa di Malaysia menerima vaksin.
“Ini secara langsung dapat membendung penularan jangkitan COVID-19 ini daripada menjadi tidak terkawal. Jom daftar sebagai penerima vaksin COVID-19. Ia percuma untuk kita semua,” katanya dalam satu kenyataan menerusi akaun Facebooknya di sini, sebentar tadi.
Kenyataan Izani berkenaan turut disertakan data penerimaan vaksin oleh penduduk negara lain termasuk Israel dan Amerika Syarikat.
Terdahulu media melaporkan hampir 10,000 penduduk di Kelantan, terutama golongan berusia 60 tahun ke atas dikesan gagal menghadirkan diri bagi menerima suntikan vaksin COVID-19, sehingga kelmarin.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin, berkata antara puncanya yang dikenal pasti adalah masalah kesihatan dan menunda tarikh suntikan.
Dr Zaini berkata, ada individu terbabit mengatakan mereka tidak boleh hadir kerana mempunyai masalah peribadi, manakala sebahagiannya tidak memberi alasan kepada Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
“Semua tidak hadir mendapatkan suntikan vaksin ini adalah mereka yang berdaftar bagi fasa kedua Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
“Apabila kita mendapat senarai sehari atau dua hari sebelum janji temu, kita akan menghubungi setiap individu untuk mengenal pasti sama ada mereka boleh hadir atau tidak pada masa ditetapkan.
Bagaimanapun, bukan semua dapat dihubungi kerana terlalu ramai yang mendaftar menerusi aplikasi MySejahtera, manakala ada juga tidak menjawab panggilan,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.