25 MEI: Kementerian Sumber Manusia (KSM) menyiasat sembilan aduan berhubung tindakan majikan melarang pekerja untuk bekerja dari rumah (BDR) selepas tambahan ciri aduan berkenaan diwujudkan dalam aplikasi ‘Working for Workers’ (WFW) bermula semalam.
Menteri, Datuk Seri M Saravanan, berkata KSM dan agensi berkaitan memulakan siasatan mengikut akta sedia ada selepas mereka menerima aduan menerusi aplikasi berkenaan, kira-kira jam 9 pagi tadi.
“Maklumat siasatan itu juga akan dirujuk kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta Kementerian Kesihatan (KKM) sekiranya terdapat pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) atau Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
“Mana-mana pekerja yang dipaksa oleh majikan untuk hadir ke pejabat dan bercanggah dengan sekatan tambahan bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diminta membuat aduan melalui aplikasi WFW,” katanya melalui kenyataan hari ini.
Dalam aplikasi WFW yang dilancarkan 3 Mei lalu KSM memperkenalkan satu lagi kategori aduan baharu iaitu majikan tidak benarkan BDR bermula semalam.
Hingga kini, terdapat 17 kategori aduan dalam aplikasi WFW yang menyentuh isu-isu perburuhan yang dihadapi golongan pekerja.
Dalam pada itu, Saravanan berkata, kategori itu diwujudkan bagi mengambil kira pengumuman kerajaan yang menetapkan 40 peratus pekerja sektor swasta dikehendaki bekerja dari rumah berkuat kuasa esok bagi mengurangkan risiko jangkitan COVID-19.
“Hingga semalam aplikasi ini merekodkan 178 aduan dan daripada jumlah itu 105 aduan dari rakyat tempatan, manakala selebihnya pekerja asing. Kuala Lumpur merekodkan aduan tertinggi (75 kes), diikuti Selangor (44 kes), dan Johor (21 kes). – Oleh HAIKA KHAZI