25 MEI: Kementerian Kewangan (MOF) mengarahkan anak syarikatnya Prasarana Nasional Berhad (Prasarana) sediakan laporan terperinci berhubung punca sebenar kemalangan tren Transit Aliran Ringan (LRT) berhampiran Kampung Baru yang menyebabkan 47 penumpang cedera parah dan 166 cedera ringan, malam tadi.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata pihaknya juga akan memastikan semua mangsa kemalangan LRT berkenaan mendapat rawatan menyeluruh.
Tengku Zafrul berkata beliau sudah berhubung dengan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong untuk tindakan susulan untuk mengenal pasti punca kejadian.
Katanya, beliau juga sudah mengarahkan Prasarana, supaya segera menyiasat insiden itu dan mengemukakan laporan terperinci mengenai punca kejadian dan langkah yang perlu diambil untuk memastikan agar ia tidak berulang pada masa hadapan.
“Terima kasih kepada pasukan penyelamat yang bertungkus-lumus dalam kerja-kerja membantu dan menyelamatkan mangsa kemalangan ini.
“Saya doakan agar mereka semua akan segera pulih,” katanya dalam hantaran menerusi Facebook.
Dalam kejadian 8.33 malam tadi, seramai 47 penumpang cedera parah manakala 166 mengalami kecederaan ringan dalam kemalangan itu.
Kejadian itu dikatakan berpunca daripada masalah komunikasi pada sistem kawalan tren berkenaan.