25 MEI: Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM), memaklumkan pemilihan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bagi individu sudah mendaftar Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Fasa 2, ditentukan menerusi aplikasi MySejahtera.
Presiden APHM, Datuk Dr Kuljit Singh, berkata wujud salah faham dalam kalangan orang awam bahawa mereka boleh memilih hospital swasta sebagai PPV untuk pendaftaran program suntikan vaksin.
Katanya, fungsi hospital swasta sebagai PPV untuk PICK Fasa 2 juga adalah sama seperti fasiliti kerajaan dan termaktub peraturan sama.
“Wujud salah tanggapan dalam kalangan masyarakat seolah-olah sekarang ini mereka mempunyai peluang untuk memilih hospital swasta pilihan masing-masing dan mendaftar vaksin.
“Prosedur dan prosesnya tetap sama seperti sebelum ini kerana pendaftaran masih dilakukan menerusi aplikasi MySejahtera, manakala mereka yang layak menerima vaksin untuk PICK Fasa 2 akan diberikan imunisasi terbabit tanpa boleh memilih hospital atau jenis vaksin.
“Hospital swasta adalah salah satu pusat vaksinasi sama seperti hospital kerajaan atau pusat komuniti lain,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Dr Kuljit berharap, orang ramai tidak tergesa-gesa ke hospital swasta untuk mendapatkan slot suntikan vaksin.
Jelasnya, semua hospital swasta yang menyertai PICK akan mematuhi garis panduan Jawatankuasa Khas Jaminan Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV), termasuk metodologi inokulasi vaksin tambahan di setiap pusat vaksinasi, sekiranya berlaku perkara tidak diingini.
Orang awam, katanya, harus menggunakan MySejahtera untuk PICK, seperti dimaklumkan Menteri Penyelarasnya yang juga Menteri Sains, Inovasi dan Teknologi, Khairy Jamaluddin, malah beliau memberitahu bahawa vaksin akan mencukupi untuk lebih 80 peratus populasi sehingga hujung tahun walaupun bekalan ketika ini agak perlahan.
“Disebabkan ini, tidak mungkin vaksinasi di hospital swasta akan berlaku dalam tempoh terdekat, maka kami menasihati mereka yang tertunggu-tunggu untuk mendapatkan vaksin di hospital swasta supaya berhenti menunggu,” katanya.