25 MEI: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di Mukim Bagan Serai, Kerian, Perak selama 14 hari, bermula lusa.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pelaksanaan itu dikenakan selepas Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan sehingga semalam, sebanyak 53 kes positif COVID-19 direkodkan hasil daripada 144 ujian saringan dijalankan di lokaliti terbabit.
Katanya, KKM juga mendapati kes semasa bertaburan dalam mukim dan tidak tertumpu di satu lokaliti atau kawasan dengan kadar kebolehjangkitan adalah tinggi.
“Pada masa sama, kadar insiden meningkat daripada 42.5 pada Minggu EPID 20 kepada 62.6 pada Minggu EPID 21.
“Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di Mukim Bagan Serai, Kerian, Perak berkuat kuasa 27 Mei sehingga 9 Jun 2021.
“PKPD ini dapat mengurangkan pergerakan penduduk dalam dan luar mukim serta pergerakan merentas ke negeri jiran,” katanya menerusi kenyataan berhubung perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), hari ini.
Ismail Sabri berkata, PKPD turut dilaksanakan di FELDA Redong 1, Mukim Labis, Segamat, Johor selama dua minggu, bermula lusa.
“Sehingga kini, KKM melaksanakan 361 ujian saringan dan 67 daripadanya disahkan positif dengan kadar kebolehjangkitan masih tinggi.
“Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di FELDA Redong 1, Mukim Labis, Segamat, Johor berkuat kuasa 27 Mei sehingga 9 Jun 2021.
Selain itu, Ismail Sabri berkata, pelaksanaan PKPD turut dikenakan di tiga lokaliti di Daro, Sarawak selama 14 hari, bermula esok.
Jelasnya, lokaliti terbabit adalah Rumah Panjang Isa Anak Blone, Rumah Panjang Ben Anak Kuleng dan Sekolah Kebangsaan (SK) Telok Gelam.
Arahan berkenaan dikenakan, katanya, selepas KKM melaporkan terdapat peningkatan kes pandemik itu secara mendadak dalam tempoh satu minggu apabila sebanyak 12 kes positif direkodkan daripada 153 ujian saringan dijalankan di tiga lokaliti terbabit.
“Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam
Jawatankuasa Teknikal PKP, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PKPD di ketiga-tiga lokaliti seperti yang dinyatakan bermula dari 27 Mei 2021 sehingga 9 Jun 2021.
Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri berkata, seramai 694 individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) dan daripada jumlah itu, 685 dikompaun, lapan direman, manakala satu dijamin.
“Kesalahan paling tinggi adalah tiada penjarakan fizikal, iaitu seramai 179, diikuti gagal merekod butiran diri dan daftar masuk premis (166) dan tidak memakai pelitup muka (129).
“Rentas negeri dan daerah tanpa kebenaran pula merekodkan 63 individu, manakala tidak patuh arahan kawalan pergerakan (58) dan lain-lain (99),” katanya. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN