25 MEI: Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong (IPD) telah melakukan tinjauan dan pemeriksaan di pusat kasino Genting Highlands, malam tadi, bagi memastikan operasi perjudian di kawasan percutian itu ditutup sepenuhnya.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, hasil pemeriksaan yang dilakukan mendapati pusat kasino di kawasan berkenaan tidak beroperasi.
Menurut beliau, pemeriksaan tersebut dilaksanakan adalah selaras dengan arahan penutupan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan Malaysia (MOF).
“Pada 24 Mei, 2021, jam lebih kurang 11 malam, sepasukan pegawai dan anggota polis IPD Bentong telah menjalankan pemantauan dan pemeriksaan bagi pengoperasian pusat kasino di Genting Highlands.
“Pemantauan dan pemeriksaan dilakukan bagi memastikan pengoperasian di pusat kasino Genting Highlands ditutup sepenuhnya selaras dengan arahan yang dikeluarkan MOF,” katanya menerusi kenyataan media di Facebook rasmi Polis Bentong, hari ini.
Sehubungan itu, Zaiham menyeru kepada orang ramai agar terus patuh kepada arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi memutuskan rantaian pandemik COVID-19.
Terdahulu, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, pengurusan Genting telah diarah tutup serta-merta sejak Jumaat (21 Mei) lepas.
Ia susulan laporan media tentang sekumpulan 28 pelancong dari Alor Setar, Kedah telah pergi melancong ke Genting Highlands melalui konsep gelembung perjalanan domestik atau ‘travel bubble’ untuk sektor pelancongan.
Dua hari selepas itu, sebahagian pelancong daripada kumpulan terbabit mula mengalami simptom COVID-19 dan 16 daripada mereka disahkan dijangkiti virus itu pada 7 Mei lepas.