Semua sumbangan vaksin perlu dapat kelulusan NPRA-Khairy
25 MEI: Semua sumbangan vaksin COVID-19 daripada mana-mana individu atau syarikat swasta kepada kerajaan negeri mestilah daripada sumber atau pembekal yang sudah mendapat kelulusan daripada Badan Regulatori Farmasi Negara (NPRA).
Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata kerajaan Persekutuan juga tidak ada halangan untuk mana-mana kerajaan negeri menerima sumbangan vaksin, asalkan ia diperoleh daripada sumber yang mendapat kelulusan.
Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, sumbangan dibuat melalui Kerajaan Persekutuan adalah antara pilihan dan pihak yang mahu menyumbang boleh membuat sumbangan terus kepada kerajaan negeri.
“Sebagai contoh, kerajaan negeri mahu menerima sumbangan dan bila diperiksa sumber atau pembekal mengetahui mengenainya, tidak ada halangan untuk kerajaan negeri menerimanya.
“Ketika ini hanya tiga jenis vaksin yang menerima kelulusan bersyarat dari NPRA untuk keguaan rakyat Malaysia iaitu Pfizr-BioNTeh, AstraZeneca dan Sinovac,” katanya dalam sidang media mingguan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) bersama Menteri Kesihatan Dr Adham Baba menerusi aplikasi Zoom, hari ini.
Mengulas lanjut, Khairy berkata beliau difahamkan pengeluar Pfizer-BioNTech dan AstraZeneca hanya membekalkan kepada kerajaan di seluruh dunia.
Manakala, Sinovac, termasuk Pharmaniaga LifeSciences Sdn Bhd, yang kini membotolkan vaksin keluaran syarikat dari China pula, perlu memenuhi semua pembelian dibuat Kerajaan Persekutuan terlebih dahulu sebelum membekalkan kepada pihak lain.
Khairy berkata tindakan berkenaan perlu berikutan keperluan dan keutamaan kerajaan sekarang adalah untuk Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang memberikan vaksin secara percuma kepada penduduk di negara ini.
Sebelum ini, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan mantan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mendakwa Putrajaya dan Kementerian Kesihatan (KKM) menghalang Pulau Pinang mendapatkan vaksin itu daripada seorang penderma beralamat di Kota Kinabalu, Sabah.
Bagaimanapun, Khairy dalam satu sidang media kemudiannya mengesahkan tawaran derma dua juta dos vaksin COVID-19 oleh syarikat berpangkalan di Hong Kong kepada Pulau Pinang adalah tawaran palsu dan syarikat berkenaan tidak wujud.