25 MEI: Seramai 48,261 orang kanak-kanak dan bayi dijangkiti COVID-19 sejak pandemik itu melanda negara.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata jumlah itu membabitkan seramai 6,290 orang bayi berumur 18 bulan dan ke bawah.
Katanya, jika sebelum ini, warga emas adalah golongan berisiko dijangkiti COVID-19, ancaman virus itu kini sudah menular kepada kanak-kanak dan bayi.
“Perkembangan terbaharu ini amat membimbangkan dan seharusnya menjadi peringatan kepada semua pihak, terutama ibu bapa.
“Sebagai orang dewasa, mereka bertanggungjawab melindungi kanak-kanak dan bayi daripada dijangkiti,” katanya menerusi kenyataan berhubung perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), hari ini.
Beliau berkata, selain memberi penekanan kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP), mereka perlu melakukan sekatan pergerakan kendiri bagi mengelakkan diri, anak-anak dan keluarga daripada dijangkiti COVID-19.
“Ibu bapa perlulah mengawasi anak-anak seperti mengelakkan mereka bermain di luar rumah, memakai pelitup muka dan kerap mencuci tangan dengan menggunakan cecair pembasmi kuman,” katanya. –Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN