25 MEI: Pengerusi Prasarana Nasional Berhad (Prasarana), Datuk Seri Tajuddin Rahman, mengesahkan enam daripada 213 penumpang transit aliran ringan (LRT) yang terlibat dalam kemalangan di ibu negara malam tadi disahkan kritikal di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Malah, Tajuddin berkata tiga daripada penumpang LRT yang cedera parah kini dirawat di Unit Rawatan Rapi dan memerlukan alat bantuan pernafasan.
“Semuanya ada 47 penumpang dimasukkan ke HKL akibat kejadian kemalangan malam tadi.
“Enam kritikal dengan tiga daripadanya kini memerlukan ventilator di ICU.
“Yang lain ada semikritikal dan sebagainya tetapi enam itu memang serius,” katanya Tajuddin dalam sidang medianya hari ini.
Mengenai punca kejadian sama ada teknikal mahupun komunikasi, beliau berkata, buat masa ini semua pihak diminta menunggu hasil siasatan pihak berkuasa.
“Saya tak boleh beritahu anda sekarang. Amat bahaya untuk buat spekulasi. Boleh jadi salah.
“Laporan telah dimaklumkan, menteri pun dah bagitahu yang dua minggu diperlukan untuk siasatan,” tegasnya
Katanya, pada masa sama prosedur operasi standard (SOP) jumlah penumpang dalam tren berkenaan juga dipatuhi.
Dalam pada itu, beliau berkata, tren yang berlanggar akan dikeluarkan daripada terowong selewat-lewatnya dalam tempoh tiga hari.
“Laluan (LRT) kita tiada masalah, semua tren masih beroperasi macam biasa,” jelasnya.
Terdahulu, Prasarana mengumumkan perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya beroperasi seperti biasa bermula jam 6 pagi, dengan menggunakan satu landasan disokong perkhidmatan bas perantara percuma.