26 MEI: Di sebalik pelitup muka yang dipakai bagi menghindari jangkitan COVID-19, orang ramai perlu memastikan jenis perlindungan diri dipilih itu benar-benar berkesan untuk tujuan berkenaan.
Mengulas berhubung pelbagai jenis pelitup muka yang berada di pasaran ketika ini, seorang doktor dikenali sebagai Dr Han menerusi perkongsian videonya di laman sosial, berkata pelindung muka yang tertera standard kod 0469 dan surgical (pembedahan) di kotaknya adalah paling berkesan menghindari virus COVID-19, berbanding kod GB/T 32610-2016 dan YY/T 0969-2013.
Katanya, kod 0469 adalah pelitup muka pembedahan dengan kata kunci ‘surgical’ (pembedahan) di kotak yang mempunyai keberkesanan penapisan zarah (PFE) sekurang-kurangnya 30 peratus, keberkesanan penapisan bakteria (BFE) sekurang-kurangnya 95 peratus dan ketahanan cecair (FR) sekurang-kurangnya 120mmHg.
“Ciri piawaian dimiliki kod 0469 penting kerana virus COVID-19 berjangkit melalui aerosol daripada mulut, bersin dan batuk, jadi anda yang mahu pilihan terbaik untuk diri sendiri dan keluarga dalam menghindari pandemik terbabit, memerlukan perlindungan menerusi pelitup muka ini.
“Namun, pelitup muka ini semakin sukar didapati di pasaran kerana harga mengimport produk ini sahaja sudah menjangkau RM75, justeru harga jualannya lebih tinggi,” katanya yang turut memaklumkan pelitup muka kod 0469 digunakan doktor perubatan dan pergigian kerana keberkesanannya.
Dr Han berkata, standard kod GB/T 32610-2016 pula adalah pelitup muka perlindungan harian atau jerebu.
Justeru, katanya, pengilang tidak dibenarkan mencatatkan perkataan ‘medical’ (perubatan) atau pembedahan di kotaknya, tetapi pihak terbabit masih mencetak ‘disposable medical mask’ di produk ini yang menyalahi arahan atau ciri sebenar.
“Piawaian dimiliki GB/T 32610-2016 mampu menguji PFE sahaja, tidak diuji untuk BFE atau FR kerana tujuannya adalah untuk perlindungan harian atau perlindungan jerebu.
“Sepatutnya pelitup muka ini dijual pada harga RM40 sehingga RM50 sekotak, jadi sekiranya penjual meletakkan nilai RM75, pengguna jangan tertipu,” katanya.
Kod YY/T 0969-2013 pula, katanya adalah pelitup muka perubatan yang boleh digunakan apabila berkunjung ke tempat ramai orang atau pekerja awam.
“Di kotaknya patut ada perkataan perubatan dan piawaian pelitup muka ini mempunyai BFE sekurang-kurangnya 95 peratus, tetapi PFE atau FR tidak diuji.
“Harga di pasaran untuk pelitup muka ini biasanya RM70 sehingga RM75,” katanya.
Selain itu, pada video sama yang menyaksikan Dr Han menutupkan perbezaan antara tiga kotak produk itu, Dr Han menjelaskan syarikat pengeluar pelitup muka dari negara tertentu, sering mendakwa kadar penapisan perlindungan diri dijual itu adalah 90 sehingga 99 peratus, namun perkara terbabit adalah palsu.
“Mereka juga mungkin mencatat sijil Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Amerika Syarikat (FDA) dan Pematuhan Eropah (CE) di kotak pelitup muka itu, tetapi ini adalah pemasaran palsu serta tidak relevan kerana piawaiannya tidak menepati apa didakwa,” katanya.
Selain itu, Dr Han berkata, pengguna perlu memahami secara tepat istilah BFE, PFE dan FR yang tertera di kotak pelitup muka atau dikehendaki mereka supaya apa dibeli menepati keperluan.
Jelasnya, BFE adalah pengukuran peratusan bakteria di dalam udara yang boleh ditapis pelitup muka itu.
PFE pula, katanya, pengukuran peratusan zarah udara yang ditapis, manakala FR adalah tahap keberkesanan pelitup muka mampu menghalang penembusan cecair daripada bersin, batuk dan percikan darah.
“Pengguna perlu faham istilah ini untuk mendapatkan pelitup muka paling sesuai dengan keperluan mereka atau mengikut kehendak masing-masing,” katanya. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN