26 MEI: Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) memohon maaf di atas segala kesulitan yang dihadapi oleh orang ramai dalam membuat percubaan tempahan slot janji temu vaksin AstraZeneca secara sukarela bagi pusingan kedua pada hari ini.
CITF berkata inisiatif ini yang telah dibuka kepada penduduk Malaysia berusia 18 tahun ke atas di lima buah negeri iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Johor dan Sarawak telah habis ditempah dalam masa lebih kurang satu jam selepas tempahan dibuka.
“Sewaktu tempahan dibuka tengah hari tadi, gangguan teknikal telah berlaku yang menyebabkan pengguna menghadapi kesukaran mengakses beberapa butang ciri laman sesawang CITF.
“CITF memandang serius masalah teknikal yang dihadapi dan tindakan akan diambil kepada pihak yang berkenaan demi kepentingan awam dan negara.
“Kami mengambil maklum bahawa ramai rakyat yang berminat untuk divaksin tetapi telah gagal untuk membuat tempahan, “katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Sehubungan itu, CITF memaklumkan bahawa individu yang telah mendaftar di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan PICK) akan tetap mendapat suntikan vaksin di bawah PICK terutamanya apabila kadar vaksinasi ditingkatkan dalam bulan-bulan mendatang.
“Sekali lagi, kami memohon maaf di atas segala kesulitan yang dihadapi dan sentiasa terbuka untuk sebarang maklum balas serta teguran daripada semua pihak.
“CITF mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang telah menunjukkan minat yang amat tinggi untuk membuat tempahan slot janji temu vaksin AstraZeneca secara sukarela pusingan kedua pada hari ini.
“CITF juga ingin mengucapkan terima kasih di atas sambutan baik orang ramai yang telah menjalankan tanggungjawab masing-masing bagi memastikan negara mencapai imuniti kelompok seperti yang disasarkan,” katanya.
Dalam pada itu, Menurut CITF, sebanyak 1,261,000 dos telah ditawarkan, di mana 275,208 dos telah ditempah oleh warga emas sewaktu inisiatif ini mula dibuka daripada 23 Mei sehingga hari ini.
“Sementara itu, seramai 29,183 orang dalam senarai menunggu vaksin Astrazeneca sebelum ini telah dimasukkan ke dalam senarai giliran kali ini.
“Untuk rekod, sebanyak 956,609 tempahan bagi penduduk Malaysia berumur 18 tahun
ke atas telah dipenuhi hari ini,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH