26 MEI: Jabatan Kesihatan Kedah, sahkan 10,827 daripada 30,100 individu yang diberi janji temu untuk menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19 melalui aplikasi MySejahtera, dikesan tidak hadir antara 19 April hingga Sabtu lalu.
Pengarah Kesihatan Kedah, Dr Mohd Fikri Ujang, berkata jumlah berkenaan membabitkan individu yang sepatutnya menerima suntikan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) awam dan PPV Klinik Kesihatan seluruh negeri.
Beliau berkata, antara punca mereka tidak hadir ialah bertukar fikiran kerana belum bersedia untuk menerima suntikan vaksin berkenaan.
“Kita juga dimaklumkan ada antara mereka tidak sihat dan sedang menjalani kuarantin serta berada di luar kawasan.
“Mereka juga memberi alasan tiada kenderaan untuk hadir ke PPV, serta ada yang memohon menukar tarikh pada saat akhir,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Bagaimanapun, Dr Mohd Fikri berkata, kesemua dos vaksin itu sudah diberikan kepada individu lain dalam senarai simpanan (standby list) sedia ada.
“Senarai itu membabitkan mereka yang memenuhi kriteria untuk suntikan vaksin fasa dua,” katanya.
Beliau sekali gus meminta orang ramai mengambil langkah proaktif melakukan sekatan pergerakan kendiri atau ‘self lockdown’ bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.
“Ini berikutan kes harian semakin meningkat, akhir-akhir ini, sehingga menjangkau lebih 7,000 jangkitan baharu di seluruh negara, semalam, termasuk Kedah yang mencatat angka harian lebih 300 kes,” katanya.
Dalam pada itu, Dr Mohd Fikri memaklumkan, Kedah kini mempunyai 12 PPV awam dan 22 PPV Klinik Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Selain itu, katanya, 14 PPV klinik swasta dan dua PPV hospital swasta, iaitu Putra Medical Centre (PMC), Alor Setar, serta Hospital Pantai, Sungai Petani.
Beliau berkata, PPV klinik swasta dan hospital dijangka ditambah selepas ini bagi melancarkan lagi proses pemberian vaksin kepada penduduk.
Media sebelum ini melaporkan setakat 8 April lalu, seramai 452,808 daripada lebih 1.5 juta individu layak menerima vaksin COVID-19 di Kedah, sudah mendaftar sebagai penerima vaksin