26 MEI: Orang ramai yang berhasrat menjadi penerima vaksin AstraZaneca kecewa dan marah apabila laman web permohonan itu gagal berfungsi dengan baik hari ini.
Menurut admin laman web vaksincovid.gov.my, keadaan itu berlaku ekoran sambutan luar biasa masyarakat sehingga pelayan laman web itu gagal berfungsi dengan baik kerana kadar trafik yang tinggi.
Kemarahan mereka berasas kerana biarpun berpuluh kali mencuba anda akan menghadapi pelbagai masalah untuk mendaftarkan diri sebagai penerima vaksin AstraZaneca secara sukarela.
Antara masalah dihadapi orang ramai ialah tidak boleh memasukkan butiran berkaitan dengan lokasi pusat pemberian vaksin (PPV) dan tarikh kerana pautan berkenaan tidak wujud.
Mereka juga mempertikaikan sama ada kementerian berkaitan tidak membuat persediaan rapi dan meramalkan kemungkinan peningkatan trafik berikutan sambutan menggalakkan diterima pada pusingan pertama pendaftaran vaksin AstraZaneca, sebelum ini.
Malah, penulis sendiri sudah mencuba lebih 10 kali untuk mendaftarkan diri sebagai penerima vaksin AstraZaneca sama ada menggunakan telefon bimbit dan komputer riba, namun hampa kerana gagal berbuat demikian biarpun lebih sejam mencuba.
Lebih memeranjatkan apabila secara tiba-tiba pautan untuk memohon slot pendaftaran vaksin AstraZaneca hilang daripada laman web tersebut terbabit sehingga menimbulkan persoalan sama ada pendaftarannya sudah penuh dalam masa kira-kira sejam atau ‘page’ berkenaan menghadapi masalah lain.
Sehingga kini belum ada sebarang kenyataan rasmi keluarkan oleh Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin, berhubung apa sebenar berlaku.
Terdahulu, Khairy, semalam, mengumumkan kerajaan akan membuka tempahan slot pusingan kedua untuk mendapatkan vaksin AstraZaneca secara sukarela kepada golongan bawah 60 tahun ke bawah mulai jam 12 tengah hari, ini.
Khairy dipetik sebagai berkata langkah berkenaan diambil berikutan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) mendapati hanya 228,347 slot ditempah golongan warga emas berusia 60 tahun ke atas yang diberikan keutamaan dalam pusingan kedua pemberian vaksin AstraZaneca mulai Ahad lalu.
Bagaimanapun, individu yang berada dalam senarai menunggu pemberian vaksin AstraZaneca dalam pusingan pertama akan dimasukkan secara automatik dalam pusingan kedua pemberian vaksin terbabit.