26 MEI: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee bagi memberikan keterangan berhubung gambarnya makan di sebuah kedai di Medan Selera Sin Tat Garden, Butterworth, Pulau Pinang.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, Lip Chee bersama pemilik kedai dan beberapa lagi individu dijangka merekodkan keterangan tersebut pada petang ini.
Menurut beliau, siasatan lanjut sedang dijalankan berhubung pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) iaitu makan di dalam kedai sedangkan ia tidak dibenarkan.
“Kita menjalankan siasatan selepas gambar Yang Berhormat (YB) Exco yang menunjukkan beliau makan di sebuah kedai makan tular.
“Berdasarkan siasatan awal, kejadian dipercayai pada jam 3 petang 23 Mei lalu yang mana Lip Chee mendakwa beliau hadir di medan selera tersebut untuk mempromosikan satu gerai makan di situ.
“Beliau juga mendakwa hanya masuk ke kedai makan itu untuk ambil gambar kononnya beliau sedang menjamu selera di situ. Ia sebahagian daripada tujuan promosi,” katanya kepada media, hari ini.
Dalam pada itu, Noorzainy memberitahu, Lip Chee mendakwa beliau hanya berlakon sedang makan di situ tanpa memakai pelitup muka dan terus beredar selepas selesai mengambil gambar di lokasi berkenaan.
“Bagaimanapun, siasatan lanjut terhadap Lip Chee dan beberapa individu tetap dijalankan.
“Kes disiasat mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Peraturan 17 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) 2021,” katanya.
Sementara itu, Noorzainy memohon orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung perkara tersebut sehingga siasatan selesai.
“Siasatan sedang dijalankan dan apabila ia selesai, kertas siasatan akan diserahkan kepada Pejabat Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Terdahulu, gambar Lip Chee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal sedang makan di sebuah kedai makan tular di media sosial sejak semalam dan mendapat pelbagai reaksi daripada warganet.
Difahamkan, gambar tersebut dimuatnaik di Facebook Lip Chee dengan keterangan yang ditulis dalam bahasa Mandarin selain terdapat hashtag ‘throwback’.