26 MEI: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru penganut Buddha yang menyambut perayaan Wesak hari ini, supaya meraikannya di rumah dalam norma baharu dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ditetapkan.
Beliau berkata, dalam situasi COVID-19 kini, mereka dan keluarga diminta bersama-sama mengamalkan kawalan pergerakan kendiri bagi memutuskan rantaian jangkitan pandemik terbabit.
Katanya, mereka diminta mengelakkan meninggalkan rumah kecuali atas urusan-urusan penting.
“Bagi mengurangkan perkumpulan beramai-ramai sempena perayaan, patuhilah arahan bahawa ketua agama dan jawatankuasa pengurusan kuil sahaja dibenarkan untuk mengunjungi rumah ibadat.
“Sama-samalah kita patuhi SOP PKP ketika ini untuk membendung penularan COVID-19 agar pandemik ini segera berakhir dan kita dapat kembali meraikan perayaan dengan meriah seperti dahulu.
“Semoga Hari Wesak pada tahun ini memberi semangat dan iltizam baharu untuk kita terus cekal dalam mengharungi segala cabaran demi kebaikan bersama serta masa depan negara yang lebih cerah. Selamat Menyambut Hari Wesak,” katanya menerusi perutusan Hari Wesak dimuat naik di Facebook, hari ini. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN