Tajuddin dijangka beri keterangan di IPD Dang Wangi esok
26 MEI : Polis dijangka merakam keterangan
bekas Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, pada tengah hari esok.
Ahli Parlimen Pasir Salak itu dipanggil ke IPD Dang Wangi bagi membantu siasatan polis berhubung pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) dengan tidak memakai pelitup muka dalam sidang media berkaitan kemalangan tren Transit Aliran Ringan (LRT), semalam.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah, berkata selain Tajuddin, pihaknya turut memanggil beberapa individu lain daripada pihak Prasarana untuk membantu siasatan.
“Kita buka kertas siasatan berhubung perkara itu mengikut Akta 342 dan beliau (Tajuddin) dipanggil untuk hadir ke IPD Dang Wangi bagi dirakam keterangan.
“Ini bagi membolehkan polis melengkapkan kertas siasatan sebelum dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan seterusnya, sama ada dikenakan kompaun atau dituduh di mahkamah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada operasi pemantauan pematuhan SOP PKP 3.0 di sebuah pusat beli-belah dan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (KLWTC) di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamad Zainal berkata pegawainya sudah menghubungi pihak Tajuddin hari ini dan mereka memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis yang menjalankan siasatan.
Terdahulu, media melaporkan polis menjalankan siasatan terhadap Tajuddin susulan video yang tular di media sosial menunjukkan Tajuddin tidak memakai pelitup muka ketika mengadakan sidang media mengenai insiden kemalangan membabitkan tren di Stesen LRT Kuala Lumpur, semalam.
Pada sidang media itu, Tajuddin dilihat hanya memakai pelindung muka tanpa memakai pelitup muka.
Susulan itu, polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkutan) 2021.