27 MEI: Seramai 37 individu, termasuk pengunjung, pengawal dan pemilik sebuah pusat hiburan di Penampang, Sabah dikompaun membabitkan jumlah keseluruhan sebanyak RM205,000 selepas tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana berkumpul tanpa penjarakan fizikal, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Penampang, Mohd Haris Ibrahim, berkata kesemua pengunjung dan pengawal terbabit, iaitu 22 lelaki dan 14 wanita yang berusia 21 sehingga 44 tahun, masing-masing dikenakan kompaun RM5,000, manakala pemilik premis dikompaun RM25,000.
Jelasnya, operasi bermula jam 1 pagi diketuainya sendiri itu, dilaksanakan bagi mengesan sebarang aktiviti perlanggaran SOP PKP dalam usaha memutuskan rantaian penularan jangkitan COVID-19 di daerah berkenaan.
“Hasil pemantauan di pusat hiburan itu mendapati individu terbabit berkumpul tanpa menjaga penjarakan fizikal, selain kebanyakan mereka didapati tidak mengimbas kod QR MySejahtera.
“Ini jelas membuktikan pelanggaran SOP PKP mengikut Peraturan-peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) 2021, iaitu Peraturan 3 dalam jadual aktiviti terlarang,” katanya kepada media, hari ini.
Mohd Haris berkata, jumlah kompaun dikeluarkan itu adalah tertinggi sejak pelaksanaan PKP dikuatkuasakan bermula 24 Mei lalu.
“Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pemilik premis hiburan atau individu yang ingkar SOP PKP COVID-19 ditetapkan.
“Peningkatan semasa kes positif di daerah ini adalah di tahap membimbangkan, justeru orang ramai digesa sentiasa mematuhi SOP PKP supaya rantaian penularan jangkitan COVID-19 dapat diputuskan segera,” katanya.