27 MEI: Dua sindiket pengedaran dadah yang didalangi seorang lelaki tumpas dalam serbuan berasingan di Ampang Jaya dan Petaling Jaya, Selangor, Jumaat lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata hasil serbuan tersebut, pihak polis Selangor berjaya merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM7.62 juta.
Menurut beliau, seorang lelaki berusia 27 tahun, yang merupakan dalang sindiket itu ditahan pada jam 3 petang.
“Sepasukan anggota polis menahan suspek yang berada di dalam kereta jenis Mazda 6 berwarna coklat, di tempat letak kereta sebuah pasar raya di Ampang.
“Hasil pemeriksaan, kita menjumpai bungkusan berisi pil ekstasi seberat 7.32 kilogram (kg) dan ketamin seberat 2kg di dalam kenderaan itu,” katanya menerusi sidang media melalui Google Meet, hari ini.
Dalam pada itu, Arjunaidi memberitahu, hasil semakan mendapati, suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah.
“Suspek kemudian membawa polis ke sebuah rumah teres dua tingkat di Petaling Jaya pada kira-kira jam 4.15 petang hari yang sama.
“Kita merampas syabu (30 kg), ketamin (25 kg), pil ekstasi (72 kg) dan pil erimin 5 (3.5 kg),” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, sindiket itu telah beroperasi sejak lima hingga enam bulan lalu dan dipercayai sindiket tersebut menggunakan taktik ‘sistem drop-off’ untuk mengelak daripada dikesan pihak berkuasa
“Oleh kerana itulah, suspek ditahan di tempat letak kereta. Suspek akan meninggalkan kenderaan di tempat letak kereta supaya rakan lain mengambil dadah tersebut.
“Polis akan menyiasat lebih lanjut untuk mengesan anggota sindiket lain. Suspek telah direman tujuh hari bermula Sabtu lalu hingga esok.
“Ini dilakukan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.