27 MEI: Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, memberi jaminan bahawa perkhidmatan tren Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya akan pulih sepenuhnya dalam masa terdekat.
Ka Siong berkata ini berikutan selepas pasukan ‘Team Recovery Rapid Rail’ yang bekerja tiga syif tanpa henti berjaya mengeluarkan dua tren LRT yang terbabit dalam kemalangan Isnin lalu, pada awal pagi tadi.
Beliau berkata pengeluaran berkenaan dua tren LRT berkenaan adalah lebih awal daripada tempoh tiga hari yang dijanjikan oleh pasukan ‘Team Recovery Rapid Rail’ sebelum ini.
Ka Siong berkata beliau menerima laporan berhubung status terkini kerja-kerja mengeluarkan dua tren berkenaan, pada jam 5.24 pagi tadi.
“Tren TR40 selamat sampai ke depoh LRT di Subang pada jam 3.45 pagi manakala tren TR81 pula sampai di Gombak Tail Track pada jam 4.51 pagi.
“Pihak Prasarana akan menumpukan kepada kerja pembaikan trek LRT dari Stesen Kampung Baru ke Stesen KLCC.
“Justeru, pasukan pemulihan (Team Recovery) terpaksa melakukan ‘power shut down’ (menutup pembekalan kuasa) untuk seluruh landasan tren (stretch) yang terbabit iaitu dari Stesen Dang Wangi ke Stesen Damai,” katanya dalam satu kenyataannya hari ini.
Beliau berkata penutupan berkenaan lima stesen LRT iaitu Damai, KLCC, Ampang Park, Kampung Baru dan Dang Wangi.
Mengulas lanjut, Ka Siong berkata, sebaik saja kerja pembaikan di landasan (stretch) berkenaan selesai, pemeriksaan akan dibuat oleh pihak Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk mengesahkan tahap keselamatan penggunaan landasan berkenaan.
Beliau berkata untuk pengoperasian LRT pada hari ini, memandangkan kesan ‘power down’ dan juga masih terdapat satu landasan yang ditutup selepas kejadian malam Isnin lalu, maka terdapat ‘bottleneck’ (tempat sempit) kerana hanya beroperasi dengan satu landasan dari Stesen Damai ke Stesen Pasar Seni (membabitkan tujuh stesen LRT).
“Saya memberi jaminan bahawa pihak Prasarana akan bertungkus-lumus membaiki landasan pada hari ini supaya perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya akan dipulihkan sepenuhnya dalam tempoh terdekat.
“Apabila landasan siap diperbaiki, tiada lagi kesan ‘bottleneck’ dan perkhidmatan LRT akan beroperasi pada tahap 50 peratus kapasiti seperti yang disyaratkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dengan prosedur operasi standard (SOP) diperketatkan sehingga 7 Jun ini tanpa mengurangkan frekuensinya,” katanya