27 MEI: Pendakwah, Ebit Lew selamat tiba di Mesir bagi melaksanakan Misi Bantuan Kemanusiaan Gaza, Palestin yang dijadualkan berlangsung sehingga 30 Mei ini.
Menerusi kenyataannya, beliau berkata, ketibaannya bersama delegasi disambut baik Kedutaan Malaysia di Mesir dan badan bukan kerajaan (NGO) United Kingdom (UK) yang terkenal dalam menghulurkan bantuan di Gaza.
“Syukur pada ALLAH sebaik sampai di Mesir, disambut baik kedutaan Malaysia di Mesir dan NGO UK terkenal yang membantu Gaza.
“Saya akan menguruskan dan membeli barang perubatan serta segala keperluan yang akan di hantar terus ke Gaza hari ini.
“Perlu melalui prosesnya di Mesir untuk melalui sempadan Rafah, satu-satunya laluan terus ke Gaza,” katanya menerusi kenyataan itu yang dimuat naik di Facebook, hari ini.
Ebit Lew berkata, beliau turut terharu kerana segala urusan misi bantuan kemanusiaan dipermudahkan.
“Terharu sangat dengan sambutan Kedutaan Malaysia di sini. Mereka sangat membantu dan memudahkan urusan kami. Betapa negara kita sangat sayangkan Palestin.
“Terima kasih atas doa daripada semua rakyat Malaysia. Terima kasih Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Wisma Putra yang menyokong serta mempermudahkan semuanya.
“Semoga Allah SWT merahmati usaha kita semua demi misi kemanusiaan ini,” katanya.
Semalam, Ebit Lew atau nama sebenarnya, Ebit Irawan Ibrahim Lew, 36 menerima kelulusan perjalanan bagi misi itu ke negara berkenaan dengan perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar, berkata walaupun misi itu adalah inisiatif sendiri, namun delegasi Ebit Lew dinasihatkan sentiasa berhubung, bekerjasama dan mendengar arahan keselamatan daripada pihak Kedutaan Besar Malaysia di Mesir.
“Selain itu, segala peraturan, prosedur dan arahan keselamatan ditetapkan negara tuan rumah mesti dipatuhi.
“Ini penting, terutama demi memastikan keselamatan Ustaz Ebit Lew dan delegasi beliau sepanjang di perantauan kelak,” katanya.
Kamarudin turut mengingatkan delegasi itu mematuhi semua SOP di Malaysia yang berkuat kuasa apabila kembali ke negara ini.