27 MEI: Hamas pada Rabu berikrar tidak akan menyentuh sesen pun dana disalurkan menerusi bantuan antarabangsa bagi membina semula Gaza yang musnah akibat serangan Israel.
Ketua sayap politik kumpulan itu, Yahya Sinwar, memberi jaminan bantuan terbabit disalurkan secara telus serta tidak berpihak setelah peperangan 11 hari itu berakhir.
Sejak gencatan senjata diumumkan bantuan antarabangsa mulai tiba bagi membina semula Semenanjung Gaza yang terjejas akibat serangan udara Zionis Israel turut memusnahkan ribuan rumah penduduk dan bangunan tinggi.
“Kami mengalu-alukan mana-mana bantuan antarabangsa atau negara Arab untuk membina semula Gaza.
“Saya memberi jaminan dan komitmen kami tidak menyentuh setiap sen yang disalurkan bagi pembinaan semula dan bantuan kemanusiaan.
“Malah kami tidak pernah mengambil mana-mana wang yang disalurkan sebelum ini,” katanya pada sidang media.
Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken, sebelum ini berkata semua bantuan yang disalurkan akan dipantau rapi supaya dapat memberi faedah kepada rakyat Palestin, bukannya pihak Hamas.
Israel mula mengenakan sekatan di darat dan maritim ke atas Palestin sejak 2007.
Konflik terbaharu Palestin-Israel berlaku pada 10 Mei lalu selepas Israel melancarkan serangan di kawasan Masjid Al-Aqsa sebelum Hamas bertindak balas dengan melancarkan roket ke arah Israel.
Keganasan di timur Baitulmaqdis berlaku susulan protes selepas rakyat Palestin kemungkinan diusir dari kediaman mereka bagi menempatkan pendatang haram Yahudi.
Serangan udara Israel antara 10 hingga 21 Mei lalu mengakibatkan seramai 254 rakyat Palestin termasuk 66 kanak-kanak terkorban.