27 MEI: Sebelum mengambil tindakan dan mengeluarkan kompaun kepada jemaah yang ingkar Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, sepasukan anggota polis turut sama tumpang solat berjemaah di sebuah masjid daerah Taiping.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat tidak menafikan gambar beberapa anggotanya sedang solat di barisan belakang jemaah di sebuah masjid itu adalah benar sepertimana yang tular.
“Pihaknya melaksanakan perkara wajib terlebih dahulu sebelum melakukan operasi dan mengambil tindakan.
“Dalam operasi kira-kira 8 malam, semalam pihak penguat kuasa mengeluarkan dua kompaun masing-masing berjumlah RM1,500 kepada dua jemaah di Masjid Tengku Menteri, Matang dan Masjid Ar Rahmaniah, Kampung Matang Gelugor, di Taiping,” katanya kepada media, hari ini.
Dalam pada itu, Osman memberitahu kompaun tersebut dikeluarkan pihaknya berikutan kedua-dua jemaah masjid berkenaan tidak memakai pelitup muka ketika solat dan ketika berada di dalam kawasan masjid.
“Dalam operasi yang dijalankan Pejabat Agama Daerah Taiping dan disertai anggota polis di Masjid Tengku Menteri, seramai 27 jemaah sedang menunaikan solat Maghrib,” katanya.
Hasil pemeriksaan lanjut, beliau mengesahkan pihak polis mendapati seorang dari jemaah itu tidak memakai pelitup muka. Hasil temubual lelaki itu mengaku secara lisan sengaja tidak memakai pelitup muka.
“Di Masjid Ar Rahmaniah pula seorang lelaki didapati tidak memakai pelitup muka ketika berada dalam masjid berkenaan. Berikutan itu, kedua-dua lelaki berusia 74 dan 57 tahun dikompaun masing-masing berjumlah RM1,500.
“Mereka dikompaun mengikut Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021 (P.U.(A) 225/2021),” katanya.