27 MEI: Sarawak yang merupakan satu-satu negeri yang sedang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akhirnya memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negeri itu mulai 29 Mei hingga 11 Jun depan.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, keputusan terbabit telah dibuat berdasarkan peningkatan kes dan bilangan kluster di negeri tersebut.
Menurut beliau, peningkatan berlaku disebabkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang lemah khususnya ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri, baru baru ini.
“Mengambil kira situasi COVID-19 di Sarawak yang semakin meruncing, situasi fasiliti kesihatan yang kritikal, dan tambahan lagi dengan varian baru (VOC) yang telah dikesan di Sarawak baru-baru ini, kita perlu mengambil tindakan yang lebih drastik untuk mengawal jangkitan Covid-19 sekarang, sebelum kita berada di situasi yang lebih parah lagi.
“Dengan ini, JPBNS telah memutuskan untuk mengisytiharkan pelaksanaan PKP di seluruh Sarawak bagi tempoh 29 Mei hingga 11 Jun depan,” katanya menerusi sidang media perkembangan harian COVID-19, hari ini.
Dalam pada itu, Amar Douglas memberitahu, SOP yang lebih ketat di bawah PKP dan kawalan pergerakan dalam tempoh beberapa minggu amat penting dalam membantu mengurangkan penularan risiko wabak COVID 19 di Sarawak yang semakin membimbangkan.
Justeru, beliau menyeru rakyat di negeri itu yang masih belum berdaftar bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bertindak segera dengan membuat pendaftaran melalui aplikasi MySejahtera, laman web JKJAV atau menghubungi Pejabat Daerah berdekatan.
“JPBNS menasihatkan orang ramai khusus mereka yang akan sambut Hari Gawai agar mematuhi SOP yang ditetapkan dan menyokong tindakan kerajaan Sarawak melaksanakan perkara ini.
“Sambutlah Gawai dengan ahli keluarga yang tinggal serumah sahaja atau di ‘bilik’ (Rumah Panjang) masing-masing atau menggunakan teknologi berhubung secara maya.
“Jangan balik rumah panjang atau kampung, duduk di rumah sahaja, jangan melakukan sebarang aktiviti ziarah atau ‘ngabang’, jangan berkumpul di suatu tempat atau ruai, usah menganjurkan aktiviti sabung ayam, dan sentiasa mematuhi garis panduan (SOP) yang ditetapkan,” katanya.
Terdahulu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan Sarawak hari ini telah mencatatkan 772 kes positif, iaitu kedua tertinggi dalam negara selepas negeri Selangor.
Ia juga mencatatkan sembilan kes kematian baharu hari ini, membawa jumlah kematian Covid-19 sebanyak 97 kes.
Sebelum ini, Sarawak telah mula melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan SOP yang telah diperketatkan sejak 12 Mei lalu.