27 MEI: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar menggesa masyarakat komited kepada saranan sekatan pergerakan kendiri atau ‘self-lockdown’ ditetapkan kerajaan bagi memutuskan rantaian penularan jangkitan COVID-19.
Menerusi kenyataannya, baginda bertitah, kes COVID-19 yang terus meningkat kepada lebih 7,400 kes, semalam amat membimbangkan dan memerlukan kerjasama semua pihak, termasuk rakyat untuk duduk di rumah.
“Kita bukan hanya perlu berdisiplin untuk tidak keluar dari rumah, tetapi kita juga perlu ada kesedaran bahawa tindakan kita keluar ke tempat awam mahupun rumah jiran sahaja akan menyebabkan kita mungkin dijangkiti atau kita sendiri menjadi pembawa dan menjangkiti orang lain.
“Jangan pentingkan diri sendiri, fikirlah juga orang lain, justeru semua mesti berdisiplin dan komited bagi menghalang kita semua terjerumus ke dalam situasi lebih parah lagi, malah kerajaan juga harus mempertimbangkan ‘lockdown’ penuh jika angka COVID-19 tiada tanda penurunan.
“Biar kita telan ubat yang pahit sekarang daripada menanggung sakit melarat dan berterusan,” titah baginda menerusi kenyataan dimuat naik di Facebook Sultan Ibrahim, semalam.
Sultan Ibrahim bertitah, baginda amat bersimpati dengan semua petugas barisan hadapan, terutama kakitangan perubatan yang terpaksa menanggung bebanan besar dibawa virus ini.
Titahnya, kepenatan dan kegelisahan mereka jelas kelihatan, tambahan bukan COVID-19 sahaja penyakit yang perlu mereka tangani, namun mereka tetap menjalankan tugas sebaik mungkin.
Baginda bertitah, masyarakat harus mengasihani petugas barisan hadapan dan harus bersatu memainkan peranan untuk mengurangkan beban mereka serta memutuskan rantaian jangkitan demi kebaikan semua.
“Saya sempat bercakap dengan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi perbualan telefon dan disembah maklum mengenai situasi terkini COVID-19.
“Kemunculan varian baharu juga amat menakutkan yang kini boleh dibawa udara (airborne) dan jika jangkitan terus menular, saya risau akan bertambah-tambah lagi varian virus berbahaya ini.
“Dalam keadaan tidak menentu kini juga, saya menyeru kepada pihak berkemampuan untuk tampil membantu mereka ditimpa kesusahan dalam apa jua bentuk yang boleh,” titah baginda. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN