28 MEI: Sebanyak 21 Mukim di daerah Kuala Terengganu akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai 30 Mei ini, berikutan terdapat peningkatan kes COVID-19 di kawasan tersebut.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mukim yang akan terlibat terdiri daripada Manir, Bukit Besar, Pengadang Buluh, Belara, Paloh, Kubang Parit, Serada, Rengas, Chendering dan Mukim Bandar.
Selain itu, menurut beliau, Chabang Tiga, Kepong, Gelugur Kedai, Kuala Ibai, Atas Tol, Tok Jamal, Losong, Batu Buruk, Pekan Chabang Tiga, Pulau Pulau dan Gelugur Raja juga merupakan mukim yang akan dikenakan PKPD mulai Ahad ini.
“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati, berlaku peningkatan kes yang amat ketara sepanjang Mei 2021 iaitu 349 kes atau 370% bagi tempoh dua minggu di semua lokaliti tersebut.
“Setelah membuat penilaian bersama, 21 Mukim ini akan dilaksanakan PKPD bermula 30 Mei sehingga 12 Jun bagi menyekat pergerakan dan jangkitan COVID-19 dari kawasan berisiko keluar dari lokaliti tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi kenyataan media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKPD, hari ini.
Dalam pada itu, Ismail Sabri memberitahu sebanyak lapan lokaliti di Johor, Pahang, Selangor dan Sabah juga akan dilaksanakan PKPD mulai 30 Mei sehingga 12 Jun depan.
Beliau berkata, daripada jumlah itu, tiga daripada terletak di Sabah iaitu Kampung Pasir Putih Blok B, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Sri Balung dan Kampung Baru Pasir Putih manakala Taman Sinar Harapan Tampoi di Johor Bahru turut akan dilaksanakan PKPD.
“Di Pahang, dua lokaliti yang akan dilaksanakan PKPD Ahad ini adalah di FELDA Jengka 24, Jerantut dan Kampung Baru Melayu, mukim Bentong, Bentong, Pahang manakala di Selangor, Taman Pertama dan Taman Serendah, Daerah Sabak Bernam yang akan terlibat dengan PKPD pada tarikh yang sama.
“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM menjalankan pengesanan awal kes-kes disyaki COVID-19 supaya dapat diasingkan secepat mungkin dan seterusnya mengekang penularan COVID-19 ke komuniti luar,” katanya.
Tambah Ismail Sabri, kerajaan turut bersetuju untuk melanjutkan PKPD di Kampung Lubok Redan di Alor Gajah, Melaka dan Lorong 2, Kampung Kongsi 8 di Tawau, Sabah yang sepatutnya ditamatkan esok.
“KKM mendapati penularan kes masih berlaku di lokaliti tersebut dengan kes baharu juga direkodkan.Setelah membuat penilaian risiko, kerajaan bersetuju melanjutkan PKPD di tiga lokaliti ini bermula 30 Mei sehingga 12 Jun 2021,” katanya.
Sementara itu, mengenai task force operasi pematuhan, beliau memaklumkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan seramai 581 individu semalam atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pergerakan (PKP)
Beliau berkata, daripada jumlah itu, seramai 574 individu dikompaun manakala enam orang pula direman serta seorang lagi telah dijamin.
“Antara kesalahan direkodkan ialah tidak memakai pelitup muka (191), gagal merekod butiran diri/daftar masuk premis (119), tiada penjarakan fizikal (89), rentas negeri/daerah tanpa kebenaran (67), tidak patuh arahan kawalan pergerakan (53) dan lain-lain (62),” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH