28 MEI : Sasaran kerajaan untuk menyuntik 150,000 dos vaksin COVID-19 semakin menghampiri sasaran apabila seramai 107,340 telah disuntik setakat jam 11.59 tengahari tadi.
Perkara ini diumumkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi Facebook rasminya iaitu lebih 100,000 dos diberikan dalam sehari adalah satu jumlah yang baik.
“Semoga momentum ini diteruskan ke arah mencapai 80 peratus herd immunity (komuniti kelompok) dalam kalangan masyarakat Malaysia.
“Terima kasih vaksinator yang bertugas memberikan vaksin COVID-19 kepada semua penerima di 382 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh Malaysia,” katanya.
Justeru, KKM memaklumkan secara keseluruhannya, seramai 1.91 juta populasi Malaysia sudah menerima vaksinasi dos pertama (1.18 juta orang) dan dos kedua (732,305 orang).
“Jumlah ini adalah sebagaimana yang diumumkan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, dalam sidang media, semalam.
Terdahulu, kerajaan yakin sasaran 150,000 suntikan vaksin sehari dapat dilaksanakan menjelang Jun ini apabila jumlah bekalan vaksin lebih tinggi diterima pada bulan depan.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim setakat ini 80,000 suntikan diberikan sehari sehingga minggu lalu.
Menurut beliau, bekalan vaksin yang semakin banyak akan membuka lebih banyak Pusat Pemberian Vaksin (PPV), sekali gus mampu meningkatkan angka vaksinasi hingga 150,000 suntikan sehari.