27 MEI: Kecaman demi kecaman dibuat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung pinjaman dan hutang kerajaan dijawab dengan mudah Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ibarat seorang jaguh yang menyatakan kebenaran.
Dalam perkongsian di Facebook pada 22 Mei lalu, Najib mendakwa kerajaan menanggung hutang berjumlah RM115.53 bilion setakat 22 Mei lalu, selain menyenaraikan pecahan bulanan pinjaman mulai Januari sehingga 22 Mei serta sedia disiasat mengikut Ordinan Darurat Berita Palsu jika senarai itu terbukti tidak benar.
Najib turut mendakwa adalah hak kerajaan untuk meminjam RM115.53 bilion sejak awal tahun ini dan membelanjakannya mengikut kehendak serta kemahuannya, selepas Akta Kewangan bagi mengawal dan memantau perbelanjaan kerajaan digantung menerusi Ordinan Darurat.
Najib juga dilihat mempunyai motif terselindung apabila sengaja menyerang Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan berterusan ‘memerli’, kononnya pinjaman dibuat dapat dibelanjakan ke atas projek bermanfaat seperti membina tiga dewan di Pagoh bernilai RM35 juta.
Bagaimanapun, pada 26 Mei lalu, Zafrul memberi jawapan bahawa pinjaman dibuat kerajaan setakat April 2021 hanyalah berjumlah RM81.8 bilion dan kira-kira RM99.3 bilion setakat bulan ini, bukan RM115.53 bilion seperti didakwa Najib.
Nampaknya, Najib mengelirukan angka dengan memasukkan pinjaman diperoleh Petronas dan Khazanah Nasional Berhad serta hasil penjualan saham Telekom dan Silterra bagi keperluan modal serta aliran tunai masing-masing, selain penggunaan dana daripada Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) dibuat kerajaan.
Ingin ditegaskan bahawa semua yang dinyatakan itu, bukan pinjaman kerajaan.
“Saya mendapati angka dinyatakan dengan memasukkan jumlah pinjaman dan penjualan aset terbabit amat membingungkan, malah bagaimana pinjaman dibuat Petronas dan Khazanah dikira sebagai hutang kerajaan? Pinjaman dibuat mereka adalah untuk keperluan modal serta aliran tunai masing-masing.
“Hutang ini adalah tanggungjawab Petronas dan Khazanah, jadi bagaimana anda boleh mengatakan hutang dibuat syarikat terbabit sebagai hutang kerajaan?,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.
Menurut Zafrul, sejak 1 Januari lalu, semua pinjaman kerajaan dibuat berdasarkan perbelanjaan diluluskan dalam Belanjawan 2021 di Parlimen. Tiada sebarang dana tambahan seperti didakwa Najib kecuali hasil kerajaan menurun dengan ketara akibat pandemik.
“Kerajaan tidak pernah menggunakan Ordinan Darurat untuk meningkatkan atau menambah perbelanjaan melebihi had siling diluluskan Parlimen pada Ogos 2020,” tambah Zafrul, sekali gus mematahkan hujah Najib kononnya kerajaan berbelanja secara semberono selepas Akta Kewangan digantung.
Berhubung peruntukan RM5 bilion dari KWAN, dana itu digunakan hanya untuk membeli vaksin dan bukanlah pinjaman seperti didakwa Najib dalam senarai dinyatakannya untuk meningkatkan jumlah hutang kerajaan.
KWAN sebenarnya adalah rizab kerajaan disimpan sejak 1960-an bagi kegunaan kerajaan pada masa depan dan pentadbiran Muhyiddin bukanlah yang pertama menggunakan rizab terbabit.
Nampaknya, kebencian Najib terhadap Muhyiddin yang pernah dipecatnya dari UMNO tanpa belas kasihan kerana isu 1MDB amat kuat, sehingga sanggup menuduh kononnya pentadbiran Ahli Parlimen Pagoh itu adalah pihak pertama ‘meragut’ dana KWAN ketika secara terang kerajaan menggunakannya untuk perolehan vaksin.
Kecuali Najib dapat membuktikan bahawa dana KWAN digunakan untuk ‘hanky-panky’, bagaimana wang pembayar cukai untuk manfaat pembayar cukai digambarkan sebagai ‘money raid’.
Mengenai jumlah pinjaman terkumpul sebanyak RM81.1 bilion sehingga April lalu, Zafrul menjelaskan bahawa nilai terbabit merangkumi RM36.1 bilion bagi membiayai semula hutang yang mencapai tempoh matang, manakala RM50.2 bilion digunakan untuk perbelanjaan pembangunan, termasuk perbelanjaan dari Kumpulan Wang COVID-19, iaitu RM17 bilion daripadanya adalah bagi tahun 2021.
Ini merangkumi inisiatif seperti Bantuan Prihatin Rakyat, Program Subsidi Upah, Jaringan Prihatin dan Program Belia, sama ada sudah selesai (wang digunakan) atau bakal dilancarkan sepanjang PKP 2.0 dan PKP 3.0 tahun ini (wang masih dimiliki).
Kumpulan Wang COVID-19 dibangunkan daripada hasil Sukuk Prihatin kerajaan bernilai RM666 juta dilancarkan pada 18 Ogos yang melepasi sasaran asal RM500 juta dan dikeluarkan pada September.
Zafrul juga menjelaskan mengenai beberapa isu disalahtafsirkan Najib kepada orang ramai, termasuk pemerintah tidak pernah membuat pinjaman di luar anggaran tahunan atau pinjaman luar neraca, bukan seperti pentadbiran Najib yang memperoleh pembiayaan luar neraca berjumlah RM50 bilion.
Malah, antara tahun 2008 dan 2017 di bawah pentadbiran Najib, tahap hutang persekutuan bertambah melebihi 120 peratus, selain apa paling ketara adalah jaminan kerajaan meningkat lebih dari 240 peratus.
Namun, dalam situasi kini, selama ini, kita belum pernah berdepan dengan pandemik seperti COVID-19 yang harus kerajaan hadapi, membabitkan pertemuan tiga isu utama pada masa sama, iaitu kesihatan awam, kemerosotan ekonomi dan ketidakstabilan politik.
Liabiliti luar jangka daripada jaminan kerajaan yang tinggi dan pinjaman luar neraca pentadbiran Najib dengan kegagalan 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak baik yang masih dirasakan hari ini apabila kerajaan sekarang terpaksa menanggung banyak hutang warisan 1MDB, SRC, Strategic Energy Resources Sdn Bhd (SSER) serta berkaitan.
Zafrul berkata, kebenaran yang perit adalah banyak dana kerajaan digunakan untuk menunaikan liabiliti hutang ini yang dianggarkan kira-kira 15 peratus daripada semua hutang kerajaan adalah dalam bentuk jaminan dan komitmen hutang 1MDB serrta secara ringkasnya, pemerintah Perikatan Nasional PN ini mewarisi sejumlah besar hutang, tetapi kini berhadapan dengan kemampuan lebih rendah untuk memenuhi komitmen kewangan terbabit.
Jelasnya, kerajaan sudah membayar hutang 1MDB sebanyak RM12.4 bilion dan hutang SRC sebanyak RM3.1 bilion, namun masih perlu menyelesaikan pokoknya serta pembayaran kupon, keuntungan atau faedah bon, sukuk, selain pinjaman berjangka berjumlah RM39.8 bilion bagi 1MDB dan RM2.7 bilion untuk SRC .
Usaha kerajaan itu, katanya, bertentangan dengan dakwaan dibuat Najib berulang kali bahawa kerajaan sejak zaman Pakatan Harapan (PH), belum membayar satu sen pun hutang 1MDB yang menurutnya syarikat itu meninggalkan aset dan dana diperoleh daripada usaha pemulihan asetnya serta boleh digunakan untuk melunaskan hutang.
Justeru, Zafrul berkata, selain hutang persekutuan, pemerintah harus memenuhi komitmen jaminan untuk 1MDB, SRC dan SSER yang sekali lagi, bertentangan dengan apa dikatakan bekas Perdana Menteri itu.
Semua projek didakwan Najib menguntungkan itu, katanya, tidak menghasilkan pendapatan untuk menyelesaikan pokok dan faedah pinjaman mereka.
“Apa lebih menyedihkan adalah dalam kebanyakan kes, kita bahkan tidak tahu apa faedah diberikan hutang ini kepada negara,” katanya.
Sekiranya tidak ada kegagalan 1MDB, hutang berbilion-bilion ini dapat digunakan untuk memberi manfaat kepada rakyat semasa COVID-19 seperti ditunjukkan Zafrul dan banyak tokoh pembangkang lain, jadi ini menunjukkan betapa bersungguh-sungguhnya Najib dalam menjatuhkan negara.
Pada masa sama, Zafrul berkata, semua pengiraan dan kewajiban pinjaman kerajaan direkodkan berdasarkan amalan dibuat pentadbiran masa lalu di Malaysia.
Salah satu taktik licik digunakan Najib untuk mengelirukan rakyat adalah desakannya bahawa hutang kerajaan, sudah melanggar ambang 60 peratus seperti dipersetujui Parlimen ketika pemerintah dan Parlimen menganggapnya sebagai hutang had siling, walaupun sebenarnya hutang itu masih kekal di bawah 60 peratus.
Akhirnya, rakyat harus mengetahui pinjaman digunakan untuk menyokong inisiatif dan program kerajaan, dicatatkan dalam penyata kewangan kerajaan serta menjalani audit tahunan.
Penulis adalah Pengarah Media & Komunikasi di EMIR Research, Jamari Mohtar, iaitu sebuah badan pemikir bebas yang memfokuskan kepada cadangan dasar strategi berdasarkan kajian teliti. – Disusun semula oleh FARHANA FARUSH KHAN