28 MEI: Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang baru dipecat sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana Malaysia Berhad bertekad untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada rakyat yang terkesan akibat pandemik COVID-19 ketika ini.
Beliau berkata, sekarang bukan masanya untuk bermain politik, sebaliknya semua pihak harus memberi perhatian kepada kehidupan rakyat yang terkesan wabak itu
“Saya sudah berada di pejabat Pengarah Pilihan Raya UMNO sejak awal pagi tadi untuk meneliti perkara itu. Tradisi UMNO adalah membantu rakyat dan saya merancang untuk meneruskannya.
“Saya akan mengadakan sesi mesyuarat dalam talian dengan anggota jentera pilihan raya negeri dan bahagian UMNO berhubung cara untuk menambah bantuan kepada rakyat yang memerlukan,” katanya kepada media, hari ini.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Pasir Salak yang juga Pengarah Pilihan Raya UMNO itu berkata beliau menerima laporan bahawa ramai orang tidak mampu membeli makanan dan ubat-ubatan.
“Fokus saya sekarang adalah bagaimana kita boleh menggunakan jentera pilihan raya di peringkat akar umbi untuk membantu mereka yang terkesan oleh pelaksanaan PKP.
“Kami dengar ramai yang tidak mampu untuk mendapatkan bekalan ubat-ubatan. Saya akan bercakap dengan cawangan parti bagi menggerakkan ahli kami untuk pergi membantu,” katanya.
Terdahulu, Tajuddin yang juga dilantik sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana pada 11 Mei tahun lepas, dipecat daripada jawatan itu pada Rabu lepas.
Kementerian Kewangan dalam surat bertarikh 26 Mei menyebut pemecatan beliau berkuat kuasa serta-merta.