29 MEI: Kerajaan negeri akan melaksanakan dasar bekerja dari rumah (BDR) sehingga 80 peratus daripada kakitangannya berikutan peningkatan kes positif COVID-19 di Kelantan, sejak kebelakangan ini.
Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Nazran Muhammad, berkata kehadiran di pejabat adalah dengan penggiliran kecuali kakitangan di sektor perkhidmatan perlu dan pasukan barisan hadapan.
Nazran berkata, peraturan itu berkuat kuasa bermula 25 Mei lalu sehingga satu tarikh yang akan diberitahu kelak.
“Waktu operasi perkhidmatan di pejabat bermula 8 pagi hingga 3 petang bagi Ahad sampai Rabu dan 8 pagi hingga 2 petang pada Khamis.
“Pegawai yang bekerja di pejabat perlu terus pulang ke rumah selepas operasi kerana baki jam bekerja dianggap sebagai arahan BDR.
“Perkhidmatan kaunter di seluruh Pejabat Tanah dan Jajahan bermula 9 pagi hingga 12 tengah hari setiap Ahad hingga Khamis. Kehadiran ke pejabat bagi proses kerja yang tidak boleh dilaksanakan secara BDR sahaja,” katanya dalam satu kenyataannya di sini hari ini.
Nazran berkata, kehadiran BDR adalah berdasarkan kepada Pekeliling Perkhidmatan (Persekutuan) Bilangan 5 Tahun 2020 dan Pekeliling Perkhidmatan (Negeri) Bilangan 3 Tahun 2021 Dasar Bekerja Dari Rumah.
Katanya, sebarang pelanggaran salah laku dalam pematuhan BDR akan dikenakan tindakan tatatertib di bawah P.U(A) 395- Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.
“Operasi kerajaan negeri berjalan seperti biasa untuk memastikan perkhidmatan kepada rakyat dapat diberi dengan cepat dan tepat.
“Prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara perlu dipatuhi bagi memastikan keluk jangkitan COVID-19 dapat dilandaikan,” katanya.